Saya bukan ‘Robin Hood’, anti maha kaya - PM

Anwar ketika hadir bagi menunaikan solat Jumaat bersama warga Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) (UPNM) di UPNM hari ini. Foto Bernama
Anwar ketika hadir bagi menunaikan solat Jumaat bersama warga Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) (UPNM) di UPNM hari ini. Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menafikan bahawa beliau anti golongan maha kaya dan bertindak seolah-olah ‘Robin Hood’ yang ‘mengambil’ wang daripada golongan berkenan untuk diberikan kepada orang miskin melalui pelaksanaan rasionalisasi subsidi.

Menurutnya, tindakan yang dilakukan kerajaan adalah munasabah dan bukanlah satu bentuk diskriminasi.

“Jika mahu membantu dan menjaga orang miskin, kita mesti mempunyai sumber yang mencukupi. Negara mewarisi hutang yang besar berjumlah RM1.5 trilion tapi pada masa sama, tidak mahu mencukai rakyat.

“Jadi, kita mengambil sedikit dan kenakan cukai yang sederhana ke atas golongan maha kaya dan menarik balik subsidi kepada mereka. Itulah falsafah ekonomi, orang kata itu Robin Hood.

Anwar bercakap pada Program Temu Anwar di Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) hari ini. Foto Bernama
Anwar bercakap pada Program Temu Anwar di Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) hari ini. Foto Bernama

“Ia bukan Robin Hood, hanya menarik balik subsidi,” katanya dalam program Temu Anwar di Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) di sini, pada Jumaat.

Turut hadir, Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir; Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin; Pengerusi Lembaga UPNM, Tan Sri Dr Syed Azman Syed Ibrahim dan Naib Canselor UPNM, Leftenan Jeneral Datuk Mardzuki Muhammad.

Tambah Anwar, Malaysia juga merupakan antara negara yang mempunyai subsidi tertinggi dan kadar cukai terendah di dunia.

Artikel Berkaitan:

“Bayangkan, ada antara individu terkaya di negara ini yang di bawah dasar sebelum ini, menerima subsidi elektrik daripada kerajaan.

“Kerajaan hanya mahu mereka membayar kos sebenar. Bagi saya, itu adil. Jika ada pihak tertentu yang mahu mempolitikkan isu ini dengan menyifatkan ia tidak adil atau tidak munasabah, ia mungkin kerana menjejaskan kepentingan perniagaan mereka," jelasnya.

Semasa pembentangan Belanjawan 2025 yang lalu, Anwar yang juga Menteri Kewangan mengumumkan penyasaran subsidi minyak RON95, dengan 85 peratus rakyat akan kekal menerima subsidi.

Beliau turut menyatakan bahawa subsidi kesihatan dan pendidikan akan ditamatkan beransur-ansur untuk kumpulan berpendapatan 15 peratus teratas.

Pada Isnin, Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli pula memberitahu kementeriannya sedang memperincikan kumpulan T15 dalam tempoh sebulan ini dengan kerjasama Kementerian Kewangan, sebelum dibentangkan kepada Kabinet untuk kelulusan.

Rafizi berkata, perincian itu amat diperlukan bagi memberi garis lebih tepat kepada kumpulan T15, yang akan dinilai berdasarkan lokaliti dan takrifannya bukan lagi bersifat nasional, sebagaimana dasar terdahulu.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!