Tanah runtuh Bukit Wawasan: Kawasan terjejas diisytihar selamat didiami

Sze Han (tiga dari kiri) meninjau kawasan tanah runtuh Taman Wawasan yang telah siap dibaiki pulih.
Sze Han (tiga dari kiri) meninjau kawasan tanah runtuh Taman Wawasan yang telah siap dibaiki pulih.
A
A
A

PUCHONG - [DIKEMAS KINI] Sembilan keluarga yang diarahkan mengosongkan kediaman Disember lalu susulan kejadian tanah runtuh di Taman Wawasan di sini dibenarkan pulang selepas kerja pengukuhan cerun dan pembinaan semula longkang monsun siap sepenuhnya Oktober lalu.

Exco Pelaburan, Perdagangan dan Mobiliti Selangor, Ng Sze Han berkata, kos keseluruhan pemulihan berjumlah RM12.2 juta ditanggung oleh pemaju bagi kerja penstabilan sementara dan kekal.

Menurutnya, lawatan tapak oleh Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) dan agensi teknikal pada 28 Oktober lalu mengesahkan kawasan tersebut selamat untuk diduduki serta bebas daripada bencana.

"Dalam kejadian 16 Disember lalu, kejadian tanah runtuh melibatkan kawasan longkang monsun sedia ada dan cerun berlaku susulan intensiti hujan yang sangat tinggi 95.5 milimeter (mm).

"Insiden ini telah melibatkan runtuhan seluas 2.18 ekar (0.88 hektar) dan mengakibatkan sembilan rumah terjejas termasuk empat kenderaan turut terjerumus ke dalam runtuhan namun tiada kemalangan jiwa dilaporkan," katanya menerusi sidang akhbar di lokasi pada Jumaat.

Sze Han (dua dari kanan) meninjau cerun Taman Wawasan yang siap dibaiki membabitkan kos keseluruhan berjumlah RM12.2 juta.
Sze Han (dua dari kanan) meninjau cerun Taman Wawasan yang siap dibaiki membabitkan kos keseluruhan berjumlah RM12.2 juta.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kinrara berkata, kerja penstabilan sementara membabitkan pemasangan 775 cerucuk dan pembaikan longkang monsun sepanjang 83 meter.

Ujarnya, ia disusuli penstabilan kekal termasuk pembinaan semula struktur jalan, longkang monsun dan dinding gabion selain kajian serta pembaikan terhadap kerosakan struktur rumah dan utiliti lain.

Artikel Berkaitan:

"Dari segi kestabilan, struktur masih kukuh cuma bagi mengurangkan risiko pada masa akan datang, kerja-kerja penyelenggaraan dan penyiasatan tapak dilakukan.

"MBSJ telah mengarahkan pemaju dan pemilik tanah untuk menyemak saliran dan parit utama di kawasan terlibat serta keseluruhan jajaran dari Tasik Wawasan sehingga LDP," katanya.

Jelasnya, kejadian Disember lalu itu disebabkan masalah longkang monsun dan bukan disebabkan kegagalan cerun.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!