Jepun kuat kuasa undang-undang hukum penunggang basikal guna telefon bimbit, mabuk

Jepun memperkenalkan hukuman penjara dan denda untuk penunggang basikal yang menggunakan telefon bimbit atau menunggang di bawah pengaruh alkohol. Foto Agensi
Jepun memperkenalkan hukuman penjara dan denda untuk penunggang basikal yang menggunakan telefon bimbit atau menunggang di bawah pengaruh alkohol. Foto Agensi
A
A
A

TOKYO - Undang-undang trafik Jepun yang dipinda berkuat kuasa pada Jumaat, memperkenalkan hukuman penjara dan denda untuk penunggang basikal yang menggunakan telefon bimbit atau menunggang di bawah pengaruh alkohol.

Menurut Agensi Berita Kyodo, individu yang didapati menggunakan telefon - sama ada untuk panggilan, teks, atau sekadar melihatnya - boleh dipenjara sehingga enam bulan atau didenda sehingga 100,000 yen (RM3,070).

Jika menyebabkan kemalangan, mereka boleh dikenakan hukuman penjara sehingga satu tahun atau denda sehingga 300,000 yen.

Sebelum ini, penggunaan telefon bimbit semasa menunggang basikal dihukum mengikut peraturan suruhanjaya keselamatan awam tempatan, dengan denda sehingga 50,000 yen.

Akta Lalu Lintas Jalan yang dipinda juga memperkuatkan hukuman bagi mereka yang menunggang di bawah pengaruh alkohol.

Penunggang dengan lebih daripada 0.15 miligram alkohol seliter daripada nafas boleh dikenakan hukuman penjara sehingga tiga tahun atau denda 500,000 yen.

Kesalahan lebih serius, iaitu menunggang basikal dalam keadaan mabuk, sudah termaktub dalam undang-undang sedia ada, dengan hukuman penjara sehingga lima tahun atau denda 1 juta yen.

Selepas undang-undang itu berkuat kuasa, polis daerah Osaka pada Jumaat berkata, mereka mengeluarkan notis saman kepada seorang penunggang basikal di bawah pengaruh alkohol dan sedang menyiasat enam kes lain.

Artikel Berkaitan:

Terdapat 295 kemalangan disebabkan penggunaan telefon oleh penunggang basikal antara 2013 dan 2017, tetapi jumlah kes meningkat lebih 50 peratus kepada 454 dalam tempoh lima tahun berikutnya, menurut Agensi Polis Kebangsaan.

Seorang pegawai agensi menyatakan peningkatan itu mungkin disebabkan bukan sahaja oleh kelaziman penggunaan telefon pintar tetapi juga pelbagai kandungan video dan permainan yang semakin berkembang. - Bernama-Kyodo

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!