Pemilihan Bersatu: Hulu Langat, Kota Melaka antara 10 bahagian digantung
SHAH ALAM - Bahagian Hulu Langat dan Kota Melaka antara 10 yang digantung daripada terlibat Persidangan Bahagian-bahagian Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) pada Sabtu ini.
Perkara itu disahkan oleh Setiausaha Kerja Bersatu, Kapten (B) Datuk Muhammad Suhaimi Yahya menerusi satu kenyataan media pada Khamis.
Katanya, persidangan di dua bahagian terbabit turut ditangguhkan sehingga ke satu tarikh yang akan ditetapkan kemudian.
"Untuk makluman, mesyuarat pengurusan pada 31 Oktober (Khamis) melalui mandat yang diberikan oleh majlis pimpinan tertinggi (MPT) memutuskan untuk menggantung Bahagian Hulu Langat dan Kota Melaka.
"Sehubungan itu, persidangan bahagian tersebut ditangguhkan sehingga tarikh yang ditetapkan kemudian," katanya.
Sementara itu, ketika Sinar Harian bertanya lebih lanjut berhubung perkara berkenaan, Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP) Bersatu, Datuk Seri Abdul Azim Mohd Zabidi memaklumkan, terdapat lapan bahagian lagi yang disahkan digantung dan tidak bersidang setakat ini.
"Selain Hulu Langat dan Kota Melaka, bahagian yang turut digantung ialah Jasin, Tapah, Teluk Intan, Machang, Bukit Mertajam, Bukit Bendera, Tanjong serta Cameron Highland," ujarnya ringkas pada Jumaat.
Dalam masa sama, beliau turut memberitahu bahawa keputusan rasmi pemenang jawatan tiga naib presiden Bersatu dijangka diumumkan pada Isnin depan sebaik selesai mesyuarat bahagian-bahagian parti itu di seluruh negara.
Persidangan Sayap-sayap Bersatu peringkat Bahagian telah berlangsung 12 dan 26 Oktober lalu dan bakal berakhir dengan Persidangan Bahagian-bahagian Bersatu pada Sabtu ini.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!