Peniaga daging tawar hadiah motosikal kepada pelanggan

Motosikal jenis SYM bernilai hampir RM4,000 yang ditawarkan kepada pembeli bertuah. Foto Bernama
Motosikal jenis SYM bernilai hampir RM4,000 yang ditawarkan kepada pembeli bertuah. Foto Bernama
A
A
A

JERTIH - Usaha seorang peniaga menawarkan hadiah cabutan bertuah sebuah motosikal jenis SYM bernilai hampir RM4,000 melalui pembelian daging di gerainya di AgroBazaar Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) di Kampung Nyior Tujuh di sini pada Jumaat, menarik perhatian ramai.

Malah, inisiatif Muhammad Ilias Johan, 37, yang turut menghadiahkan sekilogram ikan dan sekotak santan segera melalui pembelian sekilogram daging tempatan turut membuatkan pusat jualan berkenaan diserbu lebih 2,000 pelanggan bermula 8 pagi tadi.

"Hari ini saya jual daging lembu pada harga RM28 sekilogram dan mereka (pelanggan) dapat percuma ikan selayang atau kerisi serta santan segera bernilai kira-kira RM8. Kalau beli dua kilogram daging, percuma dua kilogram ikan dan dua kotak santan segera serta begitulah seterusnya.

"Untuk melayakkan pembeli menyertai peraduan cabutan bertuah sebuah motosikal pula, mereka perlu membeli daging sebanyak dua kilogram dan ke atas,” katanya ketika ditemui di AgroBazaar FAMA di sini pada Jumaat.

Muhammad Ilias berkata, usaha dilakukannya adalah untuk membantu masyarakat setempat menangani kesan kenaikan kos sara hidup dengan berbelanja barang keperluan harian di pusat jualan itu pada harga murah.

Pada awalnya dia berhasrat menjual daging lembu tempatan pada harga lebih rendah, namun membatalkan kerana tidak mahu mengganggu harga pasaran semasa daging yang dijual RM28 sekilogram di daerah Besut.

"Bagi memastikan hubungan baik dengan peniaga lain, saya menjual daging mengikut harga pasaran tetapi seolah-olah (pelanggan) membeli daging pada harga RM20 berdasarkan nilai barangan percuma itu,” katanya.

Muhammad Ilias berkata, 10 ekor lembu tempatan disembelih dan dijual bermula 9 pagi hingga petang ini. - Bernama

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!