Polis berkas dua lelaki lakukan khianat dengan mercun
KULAI - Polis menahan dua lelaki yang dipercayai terlibat dalam perbuatan khianat menggunakan mercun hingga menyebabkan kebakaran rumah.
Ketua Polis Daerah Kulai, Superintenden Tan Seng Lee berkata, kedua-dua lelaki berkenaan iaitu seorang warga tempatan berusia 30 tahun dan seorang warga asing berusia 23 tahun ditahan bersama pelbagai jenis mercun.
"Malam Khamis lalu, polis telah menerima panggilan kecemasan MERS 999 daripada seorang wanita warga tempatan mengenai sebuah kebakaran rumah Taman Putri, Kulai.
"Siasatan awal mendapati kejadian berlaku disebabkan perbuatan khianat dengan menggunakan mercun hingga menyebabkan seorang wanita warga tempatan berusia 41 tahun mengalami kerugian yang dianggarkan berjumlah RM510,000.
"Bertindak atas maklumat, Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD), Kulai telah berjaya membuat tangkapan ke atas kedua-dua suspek," katanya.
Beliau berkata, hasil ujian saringan awal air kencing mendapati suspek warga asing positif dadah jenis ganja.
Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 435 Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara sehingga 14 tahun dan denda.
"Kes juga disiasat di bawah Seksyen 8, Akta Bahan Letupan. Jika sabit kesalahan, boleh dikenakan penjara selama tujuh tahun atau dengan denda sebanyak RM10,000," katanya.
Mahkamah Majistret Kulai telah meluluskan tahanan reman ke atas kedua-dua suspek selama enam hari mulai Sabtu hingga Rabu ini.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!