Langkah baharu JMR dalam arena permotoran
JOHOR Motorsport Racing (JMR) mahu mengorak langkah baharu bermula musim 2025 apabila bercita-cita untuk mencungkil bakat tempatan dalam arena permotoran.
Hasrat tersebut diluahkan Tunku Panglima Johor, Tunku Abdul Rahman Hassanal Jefri Sultan Ibrahim yang memasang impian itu sejak menceburi bidang berkenaan beberapa tahun lalu.
"Saya telah membuat keputusan untuk mengambil langkah baharu pada tahun 2025 bersama @johor.racing.
"Melihat ke hadapan, tumpuan utama saya adalah untuk membina pasukan berasaskan home based bagi membantu memupuk bakat tempatan dalam setiap aspek sukan permotoran di Malaysia dan menyokong pertumbuhan di sini.
"Ini adalah hala tuju yang sentiasa penting bagi saya. Sesuatu yang disasarkan dari awal, saya teruja untuk melihat peluang baharu ini pada tahun 2025," katanya menerusi catatan di Instagram.
Beliau turut meluahkan penghargaan kepada rakan strategik yang banyak membantu perjalanan kariernya.
"Terima kasih kepada anda semua yang telah melalui perjalanan ini bersama saya. Sokongan anda telah membakar semangat dan memotivasikan saya untuk mengejar impian. Saya harap dapat terus membanggakan anda.
"Selepas enam tahun yang tidak dapat dilupakan, penuh dengan memori berkerjasama dengan @tripleeightraceengineering dan @mercedesamgmotorsport," katanya.
Tunku Abdul Rahman turut mengimbas kerjasamanya bersama dua entiti yang disifatkan sangat berjaya.
"Saya amat bertuah kerana mempunyai hubungan dengan Triple Eight sejak 2017. Mereka telah menyokong setiap langkah sejak permulaan karier perlumbaan saya pada 2019.
"Tanpa mereka, JMR tidak akan menjadi pasukan perlumbaan yang diiktiraf di peringkat antarabangsa.
"Saya amat berbangga dengan semua yang telah kami capai bersama dan benar-benar berterima kasih atas kerja keras dan dedikasi semua orang yang telah saya lalui di Triple Eight selama ini," katanya.
Tunku Abdul Rahman juga menyifatkan perjalanan karier bersama Mercedes-AMG sebagai sebahagian sejarah besar keluarganya dengan sukan permotoran.
"Saya ingin berkongsi penghargaan kepada seluruh keluarga Mercedes, semua orang yang menyokong kami di trek dan di ibu pejabat di Jerman kerana mempercayai pasukan JMR.
"Saya berhutang banyak kejayaan dan pertumbuhan saya sebagai pemandu kepada pemandu bersama Triple Eight dan Mercedes-AMG yang cemerlang sepanjang enam tahun lalu.
"Pengetahuan pakar, bimbingan, nasihat dan sokongan anda telah membantu membentuk saya dalam perjalanan ini. Saya akan sentiasa berterima kasih atas persahabatan yang terjalin sepanjang perjalanan," katanya.
Beliau turut mengimbas pengalaman pertama berlumba di laman sendiri, Litar Antarabangsa Sepang lima tahun lalu.
"Masa yang sesuai untuk membuat perubahan dan menyahut cabaran baharu. Saya masih ingat perasaan perlumbaan pertama saya pada 2019 di hadapan penonton di tempat sendiri di Litar Sepang.
"Saya tahu sesetengah orang tidak melihat potensi sebuah pasukan kecil dari Malaysia, tetapi saya percaya pada apa yang mungkin. Ia adalah perasaan yang sama ketika ini apabila saya melihat masa depan," ujar Tunku Abdul Rahman.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!