Duku Terengganu lebih manis, permintaan tinggi di Lembah Klang
HULU TERENGGANU - Rasanya yang lebih enak, manis dan kurang bergetah menjadikan duku Terengganu mendapat permintaan tinggi terutama di negeri Perak dan sekitar kawasan Lembah Klang.
Seorang peraih, Razali Mat Shah, 63, berkata, secara purata dia mampu memasarkan sehingga 100 tan buah duku yang diperoleh daripada pekebun di daerah ini setiap kali tibanya musim buah itu.
Menurutnya, musim duku pada tahun ini bermula agak lewat sekitar Ogos lalu dan ia sudah berada di penghujung musim yang dijangka berakhir pada bulan ini.
"Saya bersyukur kerana saban tahun permintaan terhadap buah duku Terengganu amat tinggi di mana saya memasarkan melalui tiga pemborong utama ke negeri Perak dan di sekitar Lembah Klang.
"Kebanyakan buah ini saya dapat daripada pekebun-pekebun di Kampung Dusun dan beberapa kawasan sekitar daerah Hulu Terengganu," katanya ketika ditemui pemberita di kediamannya di Kampung Kemat, di sini, baru-baru ini.
Razali memberitahu, harga duku yang diperoleh dari setiap pekebun tidak menentu bergantung kepada kuantiti yang dibekalkan.
"Harga duku yang saya beli dari pekebun tidak menentu, ada RM500 ada juga yang lebih RM100 bagi setiap bekalan.
"Setakat ini, harga paling tinggi yang saya pernah beli ialah RM16,000 iaitu buah duku dari sebuah kebun di Kampung Dusun," katanya.
Razali yang mempunyai lapan anak dan 11 cucu menjadikan kawasan halaman rumahnya di sini sebagai tempat pengumpulan duku.
Katanya, proses penggredan buah duku perlu dilakukan terlebih dahulu sebelum ia diagihkan kepada pemborong.
"Kita akan pilih buah yang terbaik, jika terdapat buah duku yang terlalu kecil kita akan pastikan ia tidak ditimbang bersama buah lain.
"Setakat ini kebanyakan duku Terengganu yang saya pasarkan hanya satu gred," katanya yang melakukan kerja sebagai peraih sejak lebih 20 tahun lalu.
Jelas Razali, musim duku memberikan limpahan rezeki buat dia sekeluarga sebelum tibanya musim tengkujuh yang lazimnya bermula pada November sehingga Mac tahun depan.
"Kerja-kerja pengumpulan duku biasanya akan berakhir menjelang musim tengkujuh, jadi waktu yang ada ini kita manfaatkan sebaik mungkin.
"Sebab bila tiba musim tengkujuh nanti semua pekerjaan agak terhad dan ini merupakan antara sumber rezeki dan mata pencarian buat saya sekeluarga," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!