Kompleks bermain ski tertutup terbesar di dunia
SHANGHAI - Mahu bermain ski sepanjang tahun tidak menjadi masalah buat pengunjung di L* Snow Resort di Shanghai, China ini.
Kompleks gergasi itu diisytiharkan sebagai Pusat Peranginan Tema Ski Tertutup terbesar di dunia oleh Rekod Dunia Guinness setelah ia dibuka secara rasmi pada September lalu dan menyediakan lebih 20 aktiviti menarik yang mencabar adrenalin.
Suhu dunia yang semakin meningkat dan musim bermain ski yang semakin pendek dikhuatiri menjejaskan ekonomi sukan musim sejuk yang semakin berkembang pesat di Beijing dengan hasil pelancongan diunjurkan mencecah 550 bilion yuan (RM357.5 bilion) ketika musim sejuk 2023 hingga 2024.
Tetapi, penganalisis mempersoalkan kemampanan pusat peranginan tema ski tertutup di tengah-tengah ikrar China untuk mengurangkan pelepasan karbon dan mencapai neutraliti karbon menjelang 2060.
Ia terletak kira-kira sejam perjalanan dari bandar Shanghai dengan keluasan kira-kira 98,900 meter persegi atau enam kali ganda lebih besar daripada kompleks Big Snow American Dream yang terkenal di Amerika Syarikat (AS).
Suhu ekstrem pada tahun ini yang disebabkan kemuncak fenomena El Nino menyaksikan Shanghai mengalami musim panas luar biasa hingga pihak berkuasa terpaksa mengeluarkan amaran merah setelah suhu mencecah 40.4 darjah Celsius.
Namun, suhu di kompleks tertutup itu kekal berada di bawah paras beku dengan penggunaan 72 mesin penyejuk gergasi dan 33 mesin pembuat salji malah seluruh premis tersebut diselaputi salji buatan setebal kira-kira 70 sentimeter.
Kemudahan itu juga menyediakan tarikan seperti pemandangan gunung palsu, chalet gaya Switzerland, kereta api salji, chair lift, ski lift dan kereta kabel.
Terdapat juga hotel bertemakan salji yang menawarkan hampir 1,000 unit bilik termasuk 17 suite eksklusif ‘ski in, ski-out’ yang membolehkan pengunjung bermain ski secara terus dari bilik mereka.
Sebelum ini, bermain ski di China merupakan sektor yang agak khusus kerana ia terhad di wilayah sejuk di utara seperti bandar Harbin.
Permintaannya bagaimanapun semakin meningkat dan menarik minat orang ramai setelah penganjuran Sukan Olimpik Musim Sejuk Beijing pada 2022.
Rancangan bercita-cita tinggi itu diumumkan pemerintah pada 2015 dengan matlamat untuk menarik kunjungan sehingga 300 juta orang dan membangunkan ekonomi sukan musim sejuk yang memberi pulangan lumayan menjelang 2025.
Matlamat itu jelas tercapai berdasarkan tinjauan diterbitkan Biro Perangkaan Kebangsaan pada Januari 2022 yang menunjukkan kira-kira 346 juta individu di Beijing menyertai sukan musim sejuk.
Menurut Akademi Pelancongan China, pelancongan santai salji di negara Asia Timur itu dijangka meningkat sebanyak 25 hingga 30 peratus ketika musim sejuk 2023-24.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!