Gandingan Zul Ariffin, Ropie menjadi
SELEPAS kali terakhir menerbitkan filem komedi seram, Hantu Kak Limah enam tahun lalu, Astro Shaw kembali mempertaruhkan naskhah bergenre sama, Don Dukun.
Menariknya, Don Dukun menyaksikan pelakon filem box office, Sheriff iaitu Zul Ariffin mempertaruhkan sisi komedi menerusi watak Don Arif, bergandingan bersama pelakon komedi popular Ropie.
Selain mereka berdua, bintang yang turut membarisi filem ini adalah Douglas Lim, Sangeeta Krishnasamy, Marsha Milan, Datuk Yusof Haslam, Putri Qaseh serta penampilan istimewa Sharifah Aryana, Serra Kamal, Sharifah Husna, Rashidi Ishak, Aloy Paradok, Zarina Anjolie, Elly Arifin dan Lousia Chong.
Don Dukun diarahkan oleh pengarah Wan Hafiz yang sebelum ini banyak mengarahkan telefilem dan siri komedi seperti Beriani Gam Aspalela, Scammer Geng Marhaban, Dendam Hantu Viral dan banyak lagi.
Manakala skrip dihasilkan oleh dua penulis yang terkenal dengan kemahiran dalam filem-filem komedi iaitu Junad M Noor bersama Amin Shakib dan produksi Infinitus Productions.
Berbeza dengan filem lain yang membawa subjek ‘dukun’, Don Dukun tidak hanya bergantung pada kepercayaan tradisional tetapi menggabungkannya dengan elemen-elemen kontemporari termasuk teknologi moden dan pengaruh dunia luar.
Filem ini secara ringkasnya mengisahkan Don Arif, seorang dukun dan juga pempengaruh media sosial yang bercita-cita menjadi sehebat bapanya, Pak Samad walaupun terpaksa menggunakan pelbagai gimik dan tipu daya untuk memikat pengikutnya di media sosial.
Namun, impiannya dihalang oleh bapanya sendiri yang enggan mengajarnya ilmu keramat warisan keluarga.
Keadaan berubah apabila seorang janda kaya muncul dengan tawaran lumayan untuk memulihkan anak tirinya yang diselubungi gangguan kuasa gelap.
Don Arif mendapati dirinya terjebak dalam persaingan sengit dengan bomoh-bomoh lain yang juga memburu habuan tersebut.
Perjalanan filem ini bagi penulis tidak terlalu rumit untuk difahami dan disulami dengan komedi yang menghiburkan. Lebih menarik lagi melihat gandingan Zul dan Ropie yang tampak bersahaja dan mempunyai keserasian.
Pendek kata, mereka tidak mengatasi sesiapa dan ibarat sudah berkawan lama.
Cuma ibarat menaiki roller coaster, ada bahagian begitu menggelikan hati dan menarik perhatian, ada babak terasa sedikit perlahan tetapi tidaklah terlalu membosankan walaupun watak si antagonis sudah boleh dijangka pemiliknya.
Pada pandangan penulis, Don Dukun tetap menghiburkan dan mengingatkan penonton kepada karya-karya komedi seram yang pernah dihasilkan Allahyarham Mamat Khalid.
DON DUKUN
PENGARAH: Wan Hafiz
PELAKON: Zul Ariffin, Ropie, Douglas Lim, Sangeeta Krishnasamy, Marsha Milan, Datuk Yusof Haslam
GENRE: Komedi / Seram
DURASI: 1 Jam 38 Minit
KLASIFIKASI: 13
TAYANGAN: 31 Okt 2024
BINTANG:
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!