Teroka masa silam di Zoo Teruntum
KUANTAN – Jika merancang percutian di daerah ini, pastinya Zoo Teruntum antara lokasi perlu ada dalam senarai destinasi wajib dikunjungi.
Terletak sembilan kilometer dari pusat bandar Kuantan, zoo seluas 3.42 hektar ini menawarkan pengalaman cukup luar biasa khususnya kepada keluarga yang mencari destinasi menyeronokkan pada hujung minggu.
Zoo Teruntum telah melalui fasa transformasi holistik apabila ia menjadi zoo hibrid pertama di Malaysia selepas penubuhannya pada 1982.
Haiwan hidup dan haiwan animatronik prasejarah seperti T-Rex, Velociraptor, Mosasaurus dan Triceratops yang digabungkan membawa meneroka dunia haiwan yang luas, dari zaman moden hingga prasejarah.
Ini membuatkan pengunjung merasakan seolah-olah menerokai masa lalu, sekali gus menarik minat bukan hanya kanak-kanak tetapi juga peminat dinosaur dan pencipta alam semula jadi.
Ketua Bahagian Perhubungan Awam dan Korporat Majlis Bandaraya Kuantan (MBK), Nor Hayatul Huda Othman berkata, Zoo Teruntum kini memasuki era baharu hasil kerjasama dengan syarikat Wegrow Global yang telah menaik taraf kemudahan dengan menyajikan pengalaman berbeza kepada pengunjung sejak 2021.
Menurutnya, konsep gabungan haiwan hidup dan haiwan mekatronik sangat sesuai untuk kanak-kanak yang ingin belajar sambil berhibur.
“Zoo ini mempamerkan 16 spesies dinosaur karnivor dan herbivor, selain memberi pendedahan mendalam tentang dunia prasejarah.
“Kita juga menambah koleksi haiwan daripada 28 spesies dengan 169 ekor haiwan yang boleh dilihat oleh pengunjung.
“Antara haiwan yang terdapat di sini termasuk memerang kecil dan buaya tembaga yang merupakan salah satu spesies ikonik di zoo ini,” katanya kepada Sinar Harian.
Nor Hayatul Huda memberitahu, satu lagi tarikan istimewa iaitu Rumah Hobbit kepada pengunjung dan ia dibina berinspirasi dari filem Hollywood terkenal, The Lord of the Rings.
Beliau menambah, Rumah Hobbit menawarkan pengalaman unik kepada pengunjung yang ingin merasai suasana kehidupan seperti di Kampung Shire, dunia fiksyen yang direka oleh pengarang, JRR Tolkien.
“Ia direka menyerupai tempat tinggal watak-watak Hobbit ini dibina dengan penuh teliti, menampilkan perincian seperti pintu bulat ikonik, bumbung berumput dan reka bentuk tradisional yang memberikan sentuhan alam semula jadi.
“Jadi, pengunjung berpeluang berjalan di sekitar kawasan rumah yang menyerupai bukit hijau di kampung Shire, sambil menikmati suasana damai yang pasti menggamit kenangan kepada peminat setia filem itu,” jelasnya.
Zoo ini dilengkapi dengan pelbagai kemudahan termasuk Indoor Playground bertemakan dinosaur yang lengkap dengan penghawa dingin demi keselesaan pengunjung.
Menurut Nor Hayatul Huda lagi, ini menjadikan tempat itu lebih selesa terutama bagi keluarga yang membawa anak kecil.
“Setiap hari, zoo turut menyediakan persembahan harian di pentas utama pada jam 11 pagi dan 4 petang, memberi elemen hiburan tambahan kepada pengunjung,” ujarnya.
Pakej lawatan bersama renjer
Bukan itu sahaja, Nor Hayatul Huda memaklumkan, pihak zoo turut menyediakan pakej lawatan berpandu oleh renjer yang berpengalaman, jika mereka yang berminat untuk mempelajari lebih lanjut tentang spesies haiwan.
Katanya, renjer akan membawa pengunjung mengelilingi zoo sambil memberikan penerangan terperinci mengenai habitat dan kehidupan haiwan-haiwan yang ada.
“Bayaran tiket untuk masuk ke Zoo Teruntum ialah RM29.25 bagi dewasa dan RM25 bagi kanak-kanak, yang berbaloi dengan pelbagai tarikan dan pengalaman yang ditawarkan,” ulasnya.
Nor Hayatul Huda berharap dengan gabungan hiburan, pendidikan, suasana selesa akan menjadi lokasi yang mesti dikunjungi oleh sesiapa sahaja yang singgah ke Kuantan.
“Pengalaman melihat dinosaur mekatronik bersama haiwan eksotik di lokasi ini pasti memberikan keterujaan kepada seisi keluarga,” tambahnya.
Sementara itu, penjawat awam, Rozza Adila Abu Bakar, 45, berkata, Zoo Teruntum sangat menarik untuk dikunjungi kerana menyediakan pelbagai bentuk tarikan.
“Selain dinosaur, ada permainan video, permainan VR, ruang pameran dan informasi dinosaur, haiwan seperti kuda belang, ular, burung unta serta banyak lagi.
“Sangat sesuai dikunjungi pelbagai peringkat umur kerana kemudahan yang disediakan seperti laluan kereta sorong dan kerusi roda,” kongsinya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!