Kes buli pegawai kadet UPNM: Mangsa ditekap seterika ketika disuruh gosok baju senior

Laporan Sinar Harian. Gambar kecil: Razarudin
Laporan Sinar Harian. Gambar kecil: Razarudin
A
A
A

KUALA LUMPUR - Polis mengesahkan seorang pelajar Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) ditekap seterika pada bahagian dada ketika disuruh menggosok baju kerja milik seniornya dalam kejadian di bilik asrama universiti berkenaan, 22 Oktober lalu.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, laporan berkaitan kejadian berkenaan dibuat mangsa kira-kira jam 8.23 malam pada Jumaat.

"Siasatan mendapati dalam kejadian kira-kira jam 11.45 malam di bilik asrama UPNM itu, mangsa berumur 20 tahun itu mulanya diminta menggosok baju kerja milik seorang pelajar senior yang juga pegawai kadet tahun empat.

"Pelajar senior itu bagaimanapun secara tiba-tiba mengambil seterika dipegang mangsa sebelum menekap mangsa di bahagian dada sebelah kanan," katanya pada Sabtu.

Katanya, setakat ini mangsa turut telah dirakam keterangan berhubung kejadian.

"Rakaman keterangan dijalankan terhadap mangsa di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Cheras dan mangsa diminta membuat rawatan di hospital bagi mengesahkan jenis kecederaan yang dialami.

"Siasatan akan dijalankan mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan," katanya.

Sinar Harian sebelum ini melaporkan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) sedang menjalankan siasatan kes buli dan dera itu.

Artikel Berkaitan:

Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Mohammad Ab Rahman ketika dihubungi memaklumkan siasatan terperinci sedang dilaksanakan.

Pada Rabu, ATM dalam kenyataan memaklumkan kejadian membabitkan pelajar kadet yang disyaki dibuli oleh seniornya menggunakan seterika yang ditekap di bahagian dada sehingga meninggalkan kesan lecur seperti yang tular menerusi media sosial.

ATM turut menyatakan tindakan disiplin yang keras mahu pun tindakan undang-undang akan dikenakan kepada pihak yang terbabit, jika terbukti bersalah.

Pada masa sama, ATM menggesa masyarakat memberi ruang kepada pihaknya untuk menyiasat perkara itu secara tuntas agar keadilan dapat diberikan sepenuhnya kepada pihak yang teraniaya.

Masyarakat juga diminta supaya tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mengganggu proses siasatan tersebut.

@sinarharianonline

Kes buli pegawai kadet UPNM: Mangsa ditekap seterika ketika disuruh gosok baju senior #fyp #SinarHarian #SinarTerkini #Semasa #Buli #UPNM #Seterika

Hard News - DM Production

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!