Busana tradisional Bisaya rekaan 'tukang jahit kampung' gah di pentas California

Qahirah Maisarah (kiri) memperagakan baju etnik Bisaya yang direka khas ketika upacara pembukaan World Championships of Performing Arts (WCOPA) yang ke-27 di California, Amerika Syarikat.
Qahirah Maisarah (kiri) memperagakan baju etnik Bisaya yang direka khas ketika upacara pembukaan World Championships of Performing Arts (WCOPA) yang ke-27 di California, Amerika Syarikat.
A
A
A

BEAUFORT - Busana tradisional etnik Bisaya yang direka khas untuk memudahkan kanak-kanak menyertai pertandingan pakaian peragaan di sekolah akhirnya membuka peluang kepada seorang tukang jahit mengembangkan bakatnya dalam rekaan kontemporari.

Malah Roslinah Jusidi, 42, tidak menyangka selepas dua tahun berkecimpung dalam rekaan tersebut akhirnya berjaya menambat hati seorang juara bintang Radio Televisyen Malaysia (RTM) menyarung busana etnik Bisaya yang direka khas untuk diperaga di pentas antarabangsa melalui upacara pembukaan World Championships of Performing Arts (WCOPA) yang ke-27 di California, Amerika Syarikat pada Jun lalu.

Pemilik Ijazah Sarjana Muda Sains Sosial itu berkata, dia yang baru berjinak dalam rekaan busana tradisional tidak menyangka hasil tangannya mendapat perhatian orang ramai walaupun hanya kedai jahitan yang diusahakannya hanya terletak di kampung.

Roslinah mengekalkan ciri tradisi seperti warna dan aksesori dalam rekaan kontemporari pakaian tradisi Bisaya.
Roslinah mengekalkan ciri tradisi seperti warna dan aksesori dalam rekaan kontemporari pakaian tradisi Bisaya.

"Saya baru saja sedang mendalami rekaan pakaian tradisional kerana sebelum ini hanya fokus kepada jahitan untuk tempahan pakaian baju kurung dan baju melayu.

"Ia bermula apabila anak saya mulai menyertai pertandingan pakaian beraneka fesyen termasuk pakaian tradisional dan ketika itu agak sukar untuk mendapatkan pakaian tradisional untuk saiz kanak-kanak dan kalau ada pun, sewanya agak mahal.

"Disebabkan saya mempunyai kemahiran menjahit, saya cuba mereka sendiri pakaian etnik Bisaya tetapi ke arah kontemporari namun masih mengekalkan ciri tradisional seperti warna dan perhiasannya," katanya ketika ditemui Sinar Harian, di kedai jahitnya di Kampung Selinsing, baru-baru ini.

Bercerita lanjut bagaimana dia berkecimpung dalam dunia jahitan, Roslinah berkata, ia bermula apabila dia mahu membantu suaminya untuk menambah pendapatan keluarga.

Artikel Berkaitan:

"Ketika itu saya baru saja selepas melahirkan anak pertama dan belum mempunyai pekerjaan walaupun sudah menamatkan pengajian di Universiti Malaysia Sabah (UMS).

"Disebabkan tidak bernasib untuk mendapat sebarang pekerjaan dan kami pula memerlukan perbelanjaan kerana sudah mempunyai anak, saya terfikir untuk menjahit selepas melihat ibu saudara mengambil upah menjahit baju dan mendapat pendapatan yang tinggi.

"Jadi saya mulai belajar menggunakan mesin jahit ibu dan sejak itulah saya mencuba pelbagai jenis jahitan sehingga berani mengambil tempahan bermula daripada ahli keluarga terdekat dan akhirnya penduduk kampung," katanya.

Roslinah menunjukkan gambar Qahirah Maisarah ketika menyarungkan baju etnik Bisaya yang direkanya khas untuk dipakai di California.
Roslinah menunjukkan gambar Qahirah Maisarah ketika menyarungkan baju etnik Bisaya yang direkanya khas untuk dipakai di California.

Roslinah berkata, dia tidak menyangka dengan kemahirannya lebih 20 tahun dalam bidang jahitan membawa dia melangkah ke dimensi lain menerusi rekaan busana tradisional tersebut.

"Lagipun tujuan saya menjahit busana etnik ini adalah untuk membantu ibu bapa lain yang sukar menyediakan pakaian tersebut untuk anak-anak mereka yang menyertai pertandingan di sekolah.

"Saya berikan perkhidmatan sewaan dengan harga serendah RM30 untuk sepasang set lengkap busana pakaian tradisional kanak-kanak.

"Selain itu, saya juga menyediakan busana tradisional etnik Bisaya untuk dewasa termasuk set pakaian pengantin untuk digunakan ketika majlis persandingan," katanya.

Menurut Roslina, mungkin disebabkan itu pakaian rekaannya mulai dikenali ramai dan menyebabkan seorang penyanyi remaja, Qahirah Maisarah Syahlil, 15, yang berentap di California berminat untuk memakai busana tradisional Bisaya tersebut.

"Saya sendiri tidak menyangka ada pihak yang nampak hasil kerja saya dan menawarkan kepada saya menyediakan pakaian kanak-kanak tersebut untuk diperagakan di pentas antarabangsa.

"Bagaimanapun, saya masih lagi belajar mendalami ilmu jahitan pakaian tradisi dan berharap akan dapat membuka butik yang menyediakan pakaian untuk memudahkan golongan kurang berkemampuan menyewanya," katanya.

Sementara itu, Presiden Persatuan Bisaya Bersatu Sabah (PBBS) Datuk Ruslan Muharam berkata, usaha mengekalkan tradisi etnik Bisaya melalui pakaian, persatuan tersebut ada menyediakan pelbagai inisiatif kepada golongan belia menyertai pelbagai kursus berkaitan dengan jahitan pakaian tradisional.

Roslinah menyediakan dan menyewakan pakaian tradisional etnik Bisaya kepada kanak-kanak.
Roslinah menyediakan dan menyewakan pakaian tradisional etnik Bisaya kepada kanak-kanak.

"Kita ada menganjurkan beberapa kursus jahitan dan pembuatan baju tradisional masyarakat Bisaya ini bersama dengan Kementerian Kebudayaan Negeri Sabah.

"Jadi kita mahu masyarakat di sini mengambil peluang dan mendapat pengalaman dan ilmu pengetahuan baharu dalam pembuatan pakaian Bisaya ini.

"Masyarakat Bisaya ini sangat mencari pakaian tradisi ini tetapi setakat hari ini hanya beberapa orang yang membuat pakaian ini, jadi kita mengharapkan masyarakat kita cuba memperbanyakkan kedai jahit ini, tidak semestinya di kedai tetapi di rumah pun boleh," katanya.

Beliau yang juga Pembantu Menteri Kepada Ketua Menteri merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lumadan berkata, ia adalah sebagai usaha untuk mengangkat pakaian etnik yang menjadi identiti masyarakat Bisaya itu sendiri.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!