Israel 'tidak serius' dalam rundingan gencatan senjata Gaza - Hamas

Israel membunuh lebih daripada 43,000 orang di Gaza dan menjadikan kawasan itu tidak layak didiami.
Israel membunuh lebih daripada 43,000 orang di Gaza dan menjadikan kawasan itu tidak layak didiami.
A
A
A

ISTANBUL - Kumpulan Palestin, Hamas pada Jumaat berkata Israel tidak mengambil serius rundingan gencatan senjata Gaza, lapor Agensi Anadolu.

Bercakap kepada saluran TV Al-Aqsa yang dikendalikan oleh Hamas, pegawai kanan Hamas, Osama Hamdan berkata bahawa Israel tidak memberikan sebarang cadangan tulen dan "tidak serius dalam rundingan (gencatan senjata)".

"Sebarang cadangan yang dikemukakan kepada kami (Hamas) yang memenuhi tuntutan rakyat kami, menghentikan penderitaan mereka, dan sepenuhnya mengakhiri pencerobohan Israel, bukan secara sementara, kami akan menerimanya tanpa ragu-ragu," kata Hamdan.

Beliau menambah bahawa Israel tidak mampu mematahkan penentangan Palestin walaupun perang di wilayah itu telah berlangsung selama setahun sejak 7 Oktober tahun lalu.

Israel membunuh lebih daripada 43,000 orang di Gaza dan menjadikan kawasan itu tidak layak didiami.

Usaha yang diketuai oleh AS, Mesir, dan Qatar untuk mencapai gencatan senjata setakat ini gagal, terutamanya keengganan Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, untuk menghentikan perang.

Kumpulan penentang itu menyatakan bahawa mereka tidak akan menerima sebarang cadangan gencatan senjata yang tidak merangkumi pengunduran penuh Israel dari Gaza dan pengakhiran sepenuhnya permusuhan.

Delegasi Israel pulang dari Doha minggu ini, dengan pejabat perdana menteri menyatakan bahawa perbincangan antara para pengantara dan Hamas akan diteruskan dalam beberapa hari akan datang untuk "menilai kebolehjayaan rundingan dan usaha berterusan untuk memajukan perjanjian," menurut laporan Agensi Anadolu. - Bernama/Anadolu

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!