DBKL serbu Mini Dhaka
KUALA LUMPUR - Mini Dhaka Jalan Silang di sini diserbu Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menerusi tindakan khas terhadap penjaja warga asing.
DBKL memaklumkan, sebanyak tiga kali serbuan pada waktu berbeza dijalankan sekitar kawasan itu.
Menurutnya, sebanyak 22 tindakan sita telah dilaksanakan di bawah Undang-Undang Kecil (UUK) Pelesenan Penjaja Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (WPKL) 2016.
"Kesemua barangan yang disita telah dibawa ke Setor Sitaan Jalan Lombong, Taman Miharja Cheras untuk tindakan rekod dan dokumentasi," katanya menerusi perkongsian di Facebook.
Sebagai makluman, kawasan itu menjadi tempat warga asing menjaja di siar kaki dengan menjual pakaian serta makanan kepada rakan senegara sejak sekian lama.
DBKL berkata, pihaknya akan meneruskan tindakan dan pemantauan dari semasa ke semasa di lokasi tumpuan yang telah dikenal pasti.
Ujarnya, sebarang aduan, orang awam boleh berhubung atau menyalurkan maklumat di pautan https://adukl.dbkl.gov.my/
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!