'FAM, Harimau Malaya perlukan TMJ'

TMJ
TMJ
A
A
A

SENTUHAN pemilik Johor Darul Ta'zim (JDT), Tunku Ismail Sultan Ibrahim amat diperlukan dalam usaha memastikan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dan Harimau Malaya mampu bergerak ke tahap yang lebih baik.

Bekas pengendali skuad kebangsaan, Wan Jamak Wan Hassan berkata, tiada individu lebih layak melainkan Tunku Ismail untuk membimbing FAM dan skuad negara sekali gus membawa perubahan kepada Harimau Malaya.

Menurutnya, biarpun Tunku Ismail pernah memegang tampuk pemerintahan FAM pada 2017 sebelum meletakkan jawatan pada 2018, namun ia bukan penanda aras membuktikan kegagalan baginda.

"Kita memerlukan seorang individu seperti Tunku Ismail kerana Tunku Ismail ada kemampuan dan kelebihan untuk memastikan Harimau Malaya dan FAM bergerak ke arah yang jauh lebih hebat.

"Dalam landskap bola sepak negara ini, tiada orang lebih layak berdasarkan apa yang telah ditonjolkan oleh Tunku Ismail ketika membimbing JDT sehingga menjadi sebuah kelab yang digeruni," katanya kepada Sukan Sinar.

Pada Jumaat, Tunku Ismail memberikan bayangan akan wujud kerjasama dengan FAM untuk memperkasakan Harimau Malaya.

Sebelum ini, Tunku Ismail memberikan idea agar Harimau Malaya dapat bergerak berasingan termasuk berkongsi sistem, peranan dan carta organisasi badan bebas itu.

Dalam perkongsian di laman media sosial baginda pada September lalu, organisasi berkenaan akan diketuai seorang Ketua Pegawai Bolasepak (CSO) atau Pengarah Teknikal selain dibantu beberapa pegawai lain antaranya Pengarah Kejurulatihan, Ketua Pegawai Operasi, Ketua Jurulatih, Pengarah Strategi dan Penilaian serta Ketua Sumber Manusia.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, beliau mahu peminat bola sepak negara untuk positif menanti perubahan yang bakal dilakukan Tunku Ismail walapun sebelum ini baginda pernah menjadi Presiden FAM.

"Kita kena lihat positif, masa itu (Tunku Ismail menjadi presiden FAM) tahun berapa. Masa tu mungkin Tunku Ismail rasa boleh buat sesuatu tetapi tidak berjaya.

"Tunku Ismail sudah tentu melihat kembali banyak perkara boleh diperbaiki untuk pasukan kebangsaan.

"Dalam tempoh selepas baginda letak jawatan (Presiden FAM), kita tengok pembangunan pemain di JDT yang sangat baik dan mereka berjaya memperkukuhkan pasukan senior mereka.

"Ia petanda baik dan mungkin ada idea daripada Tunku Ismail berdasarkan apa yang dilakukan di JDT untuk diterapkan pada pasukan kebangsaan," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!