Jangan panik, nilai dahulu tawaran beli KDA FC - UMNO Kedah
UMNO Kedah memohon agar pemilik pasukan Kedah Darul Aman FC (KDA FC) lebih berhati-hati memilih rakan kongsi bagi pembiayaan dan operasi pasukan bola sepak Kedah yang sedang berhadapan dengan krisis kewangan.
Ketua Penerangan UMNO Kedah, Datuk Shaiful Hazizy Zainol Abidin berkata, niat ditunjukkan syarikat terlibat harus dinilai secara mendalam (due diligence) daripada aspek komersial dan keupayaan kewangan syarikat yang menunjukkan minat itu sendiri.
Beliau memaklumkan, UMNO Kedah bimbang kemelut gaji dan kewangan KDA FC dilihat sebagai satu peluang untuk pihak-pihak tertentu bagi mencipta populariti segera bagi tujuan lonjakan pasaran syarikat tersebut.
"UMNO Kedah menasihatkan agar pihak pengurusan KDA FC tidak membuat sebarang penjualan panik, dibimbangi ia akan menjejaskan masa depan syarikat secara kekal.
"UMNO Kedah masih percaya mekanisme terbaik ada campur tangan kerajaan negeri melalui anak-anak syarikat yang mempunyai struktur kewangan yang kukuh diimbangi pelan jangka masa panjang yang meyakinkan," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.
Beliau menambah, pihaknya yakin model Red Giants FC adalah satu panduan terbaik bagi mana-mana model pengurusan komersial sebuah kelab bola sepak.
Shaiful Hazizy berkata, pihaknya juga tertanya-tanya apakah hasil daripada pertemuan pihak KDA FC bersama Menteri Besar yang sepatutnya memberi khabar gembira buat semua pemain.
"Pemulihan KDA FC adalah sangat penting bagi memastikan kelangsungan bola sepak negeri," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!