Pemandu lori rempuh tiga kenderaan positif dadah
NILAI - Pemandu lori muatan batu kuari yang merempuh tiga kenderaan di hadapan sebuah masjid ketika selesai solat Jumaat di Jalan Salak Tinggi-Nilai di Kampung Bukit Kadir, Nilai, petang semalam didapati positif dadah.
Ketua Polis Daerah Nilai, Superintenden Abdul Malik Hasim berkata, lelaki berusia 31 tahun itu direman empat hari bagi membantu siasatan kes berkenaan.
Menurutnya, permohonan reman dibuat pagi Sabtu di Mahkamah Majistret di sini, sebelum Pendaftar Mahkamah, Ain Nuraina Rohaizad membenarkan suspek direman empat hari bermula hari ini.
"Hasil saringan awal urin juga mendapati suspek positif dadah jenis methaphetamine," katanya.
Tambah beliau, kejadian pada jam 2 petang itu tidak melibatkan kemalangan maut, hanya pemandu dan penumpang sebuah kereta yang mengalami kecederaan dalam kejadian tersebut.
Beliau berkata, hasil siasatan awal mendapati kemalangan berlaku semasa lori berkenaan dari arah Labu hendak menghala ke Salak Tinggi.
"Apabila sampai di lokasi kejadian, brek lori tidak berfungsi lalu masuk ke laluan bertentangan dan melanggar tiga buah kenderaan iaitu jenis Proton S70, Honda CRV dan Perodua Kenari.
"Perodua Kenari berkenaan berpusing melanggar pula sebuah kenderaan pacuan empat roda yang berada di bahu jalan," katanya.
Justeru beliau berkata, kes disiasat mengikut 44(1A)(a) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan suspek turut disiasat di bawah Seksyen 15(c) Akta Dadah Berbahaya 1952.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!