Rakyat Malaysia jadi tentera upahan: Kementerian Luar sedia urus perkara berkaitan
SEREMBAN - Kementerian Luar bersedia menguruskan apa juga perkara yang diperlukan bagi mendapatkan maklumat lanjut berhubung dakwaan seorang warga tempatan terlibat sebagai tentera upahan asing dalam konflik Ukraine dan Rusia.
Menterinya, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, buat masa ini perkara berkenaan dalam tindakan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) dan pihak berkuasa dalam memastikan kesahihan dakwaan tersebut.
"Belum lagi sampai ke tahap meminta bantuan kita (Kementerian Luar), bagaimanapun kita sedia membantu apa juga yang diperlukan," katanya ketika kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Agung Persona Kebangsaan di sini pada Sabtu.
Pada Selasa, tular penemuan dua gambar yang menunjukkan MyKad dan lesen memandu rakyat Malaysia yang didakwa ditemukan di medan peperangan berkenaan.
Dikatakan, kedua-dua dokumen itu ditemukan selepas kejayaan tentera Rusia menawan kubu tentera Ukraine di Livadny, Zaporizhia, Ukraine.
Lelaki yang tular itu kononnya membabitkan diri sebagai tentera upahan dalam '16th Rifle Batallion Ukraine' yang mana ia sedang berdepan dengan tentera Rusia di Ukraine.
Dokumen berkenaan antaranya menunjukkan alamat berdaftar di Padang Besar, Perlis.
Dalam pada itu, Mohamad turut mengulangi nasihatnya supaya rakyat Malaysia yang ke luar negara sama ada untuk melancong, bekerja atau melanjutkan pelajaran memaklumkan lokasi keberadaan atau nombor telefon mereka kepada kedutaan di negara yang dikunjungi.
"Saya selalu sebut sebaiknya rakyat Malaysia yang berada di luar negara memaklumkan keberadaan mereka di kedutaan terdekat, jika ada apa-apa perkara mustahak (mudah dihubungi).
"Kita (Kementerian Luar) tidak semestinya ada rekod sebab mereka ini kadang-kadang ada yang datang belajar atas (tiket) persendirian dan kadang-kadang tidak mendaftar menyebabkan kita tidak tahu," katanya.
Sementara itu, mengenai penyertaannya ke Persidangan Ketua-Ketua Negara/Kerajaan Komanwel Ke-27 (CHOGM 2024) di Apia, Samoa baru-baru ini, Mohamad berkata, antara topik utama yang dibincangkan adalah mengenai perubahan iklim dan kenaikan paras air laut yang mengancam negara-negara pulau.
“Hal ini kerana nak uruskan perubahan iklim bukan suatu yang mudah untuk ditangani, ia memerlukan teknologi dan biaya yang besar serta sokongan negara maju.
"Semua negara bersetuju untuk mengatasi pemanasan global dan mahu mengekang pemanasan global pada 1.5 darjah Celsius menjelang 2030,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!