‘Tak benar pembangkang hanya bangkitkan isu T15’ - Mohd Syahir
SHAH ALAM - Dakwaan pembangkang hanya membangkitkan isu golongan T15 di Dewan Rakyat sehingga tidak membela nasib 85 peratus rakyat bawahan adalah tidak benar.
Ahli Parlimen Bachok, Mohd Syahir Che Sulaiman sebaliknya berkata, perbahasan ahli Parlimen pembangkang boleh dinisbahkan 85 peratus pelbagai isu rakyat bawahan manakala baki 15 peratus merangkumi topik antarabangsa.
Menurutnya, polemik tersebut timbul akibat kecelaruan dasar penyasaran subsidi yang dibuat tanpa kajian teliti selain mencipta alasan untuk menutup kegagalan kerajaan.
“Inilah akibatnya apabila Perdana Menteri gagal turunkan harga minyak dan hutang, tidak menunaikan janji serta gagal tangkap pencuri.
“Yang menjadi mangsa adalah rakyat. Golongan bawahan B40 terhimpit, pertengahan M45 tersepit manakala atasan T15 terpalit.
“Perdana Menteri lemas, rakyat rimas,” katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.
Pada Jumaat, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyatakan rasa hairan melihat gelagat pihak pembangkang yang dianggap gigih membela golongan maha kaya.
Beliau berkata, perdebatan di Dewan Rakyat menunjukkan pembangkang mempertahankan golongan T15.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!