'Hormati usaha kerajaan gubal RUU Mufti 2024' - Pengerusi MAIWP

Syed Kamarulzaman. Foto: FB MAIWP
Syed Kamarulzaman. Foto: FB MAIWP
A
A
A

SHAH ALAM - Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) menggesa mana-mana pihak agar menghormati usaha kerajaan untuk menggubal Rang Undang-Undang Mufti (RUU Mufti) (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 2024.

Pengerusinya, Syed Kamarulzaman Syed Kabeer berkata, ini kerana RUU yang digubal bertujuan memartabat dan memperkasakan institusi mufti di Wilayah-Wilayah Persekutuan.

Menurut beliau, saranan menggantikan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar dan Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Profesor Madya Dr Luqman Abdullah susulan isu penggubalan RUU Mufti itu dianggap tidak sepatutnya dibangkitkan.

Jelasnya, Mohd Na'im dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong menjadi senator berdasarkan Fasal (1) Perkara 45 Perlembagaan Persekutuan manakala pelantikan sebagai Menteri meliputi Perkara 43 Perlembagaan Persekutuan.

"Mufti Wilayah Persekutuan pula dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong berdasarkan Seksyen 32 Akta Pentadbiran Undang-Undang Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1993 [Akta 505].

"Kedua-dua tokoh pemimpin ini dilantik berdasarkan pengetahuan dan pengalaman luas dalam hal ehwal pentadbiran agama Islam menurut undang-undang serta perlembagaan," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Sebelum ini, RUU Mufti yang dibentangkan Mohd Na'im dibacakan kali pertama di Dewan Rakyat pada Julai lalu antara lain untuk mengadakan peruntukan bagi perkara berhubung rapat dengan mufti, penentuan hukum atau doktrin syarak dan lain-lain.

Menerusi RUU terbabit, ia juga memperincikan penubuhan Jawatankuasa Fatwa Wilayah-Wilayah Persekutuan; Jawatankuasa Falak Syarie; Jawatankuasa Rukyah Hilal dan Jawatankuasa Pengawasan Pengajaran Agama Islam dengan dipengerusikan mufti.

Artikel Berkaitan:

Syed Kamarulzaman berpandangan, sebarang tindakan menghasut atau menanam rasa kebencian dalam kalangan umat Islam perlu dihentikan segera, khususnya apabila melibatkan kedudukan menteri agama dan mufti Mufti Wilayah Persekutuan.

"Ia akan menghalang usaha murni kerajaan untuk mengukuhkan pentadbiran Islam di negara ini.

"Perbezaan pandangan perlu ditangani dengan sifat toleransi (tasamuh) dan beradab yang menjadi teras utama dalam membangunkan masyarakat Madani," ujarnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!