PRN Sabah: BN disaran bertemu PH Sabah bincang jika mahu jalin kerjasama
KOTA KINABALU - Barisan Nasional (BN) disaran bertemu dengan Pakatan Harapan (PH) Sabah jika ingin menjalinkan kerjasama bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN17) nanti.
Ketua Penerangan Parti Keadilan Rakyat (PKR) Sabah, Razeef Rakimin memberitahu, setakat ini belum ada sebarang pertemuan antara mana-mana pihak yang ingin bekerjasama dengan PH Sabah dalam menghadapi PRN kali ini.
"Saya menjawab ini tidaklah mewakili PH, tidak juga mewakili PKR. Tetapi setakat ini kami tidak ada dipanggil untuk perbincangan dan PKR Sabah ada autonomi sendiri.
"Bagi kami, sesiapa yang mahu bekerjasama harus berjumpa, berbincang dengan kami. Bukan berbincang di atas (presiden) sebab keputusan kami yang buat dan kami tahu siapa sesuai untuk bekerjasama.
"Kalau BN rasa ingin bekerjasama, boleh datang jumpa kami dan begitu juga parti-parti lain seperti Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan sebagainya," katanya dalam sidang akhbar PKR Sabah di sini pada Sabtu.
Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai persetujuan kerjasama antara BN dan PH di peringkat Pusat untuk menghadapi PRN Sabah.
Bagaimanapun, Razeef yang juga Timbalan Ketua Penerangan PKR Pusat berkata, pihaknya terbuka untuk berbincang namun tidak mahu keputusan dibuat dengan membelakangkan mereka yang berada di peringkat negeri.
"Kita masih terbuka, cuma tidak mahu keputusan itu dibuat tanpa pengetahuan, kena hormat kita di sini.
"Setakat ini tidak ada pertemuan rasmi atau tidak rasmi, berhubung pun tidak ada. Jadi kita nasihatkan BN kalau mahu bekerjsama, jumpa kami, jangan jumpa di atas.
"Ini kerana kami lebih tahu isu di sini serta putuskan dengan siapa mahu bekerjasama dan akan dimaklumkan kepada presiden, bukan mereka yang bincang dengan presiden," tegasnya.
Beliau berkata, setakat ini pihaknya selesa terhadap kedua-dua pihak sama ada BN di peringkat Pusat dan GRS di peringkat negeri namun menolak kemungkinan akan wujudnya kerjasama dengan Parti Warisan (Warisan) kerana dilihat tidak sehaluan ketika ini.
"Kerjasama (Warisan), kalau saya secara peribadi tidak ada sebab kalau kita lihat pun beberapa kenyataan pemimpin mereka sebelum ini seolah-olah menyerang kita.
"Jadi buat apa kita bekerjasama dengan orang yang menyerang kita," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!