Pemilihan Bersatu: Tujuh ketua bahagian Terengganu kekal jawatan
KUALA TERENGGANU - Tujuh ketua bahagian di Terengganu berjaya mengekalkan jawatan mereka dalam pemilihan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) pada Sabtu.
Jurucakap Jawatankuasa Pemilihan Parti negeri (JPPN) Terengganu memaklumkan, kesemua ketua di lapan bahagian iaitu Dungun, Marang, Kuala Nerus, Setiu, Hulu Terengganu, Kemaman, Besut dan Kuala Terengganu berjaya mencatatkan kemenangan tanpa bertanding.
Beliau berkata, Ketua Badan Pimpinan Bersatu Terengganu iaitu Datuk Razali Idris berjaya mengekalkan jawatannya di bahagian Marang.
"Di Dungun, penyandang Ketua Bersatu iaitu Datuk Abdul Aziz Ismail juga berjaya mengekalkan jawatannya selepas tiada pencalonan daripada mana-mana individu diterima untuk bertanding jawatan berkenaan.
"Selain itu, ketua bahagian yang mengekalkan jawatan mereka ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seberang Takir, Khazan Che Mat untuk bahagian Kuala Nerus, ADUN Permaisuri, Mohd Yusop Majid (Setiu) dan Ahli Parlimen Hulu Terengganu, Datuk Rosol Wahid di bahagian Hulu Terengganu," katanya ketika dihubungi di sini pada Sabtu.
Mengulas lanjut, beliau berkata, di Besut, bekas timbalan Ketua Bersatu Bahagian Besut, Datuk Wan Mohd Ariff Rashiddin Wan Jusoh turut menang tanpa bertanding jawatan tersebut.
Wan Mohd Ariff menang jawatan berkenaan selepas penyandangnya yang juga ADUN Hulu Besut, Mohd Husaimi Hussin memberi laluan kepadanya kerana mahu memberi fokus untuk bertanding jawatan Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT).
Selain itu, katanya di Kemaman pula, Timbalan Ketuanya, Mohd Zawawi Ahmad turut diumumkan menang tanpa bertanding pada hari ini.
Menurutnya, kemenangan itu susulan tiada pencabar daripada mana-mana calon lain bagi menggantikan kekosongan jawatan Ketua, Datuk Seri Wan Marzuki Wan Sembok yang meninggal dunia Disember pada tahun lalu.
Katanya lagi, di Kuala Terengganu jawatan ketua bahagian juga dimenangi oleh Badrolhisham Mohamed @ Shafie tanpa bertanding.
Seramai 150 calon menawarkan diri untuk bertanding pelbagai jawatan termasuk timbalan dan ahli jawatankuasa pada sesi pemilihan di lapan bahagian di negeri Terengganu pada kali ini.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!