PH teruskan kerjasama dengan UMNO-BN dalam PRU16 - Anwar

Anwar sedang menjawab soalan daripada mahasiswa dalam Program Temu Anwar di Karnival GEN-AI pada Sabtu.
Anwar sedang menjawab soalan daripada mahasiswa dalam Program Temu Anwar di Karnival GEN-AI pada Sabtu.
A
A
A

BUKIT MERTAJAM - [DIKEMAS KINI] Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi jaminan bahawa Pakatan Harapan (PH) akan tetap bekerjasama dengan UMNO- Barisan Nasional (BN) dalam pilihan raya umum akan datang.

Anwar berkata, kerjasama perlu diteruskan demi memastikan kestabilan negara kini dan pada masa depan.

Beliau turut menjelaskan bahawa mengekalkan Kerajaan Perpaduan sedia ada adalah wajar memandangkan tiada parti politik di negara ini yang mampu memperoleh majoriti selesa untuk membentuk kerajaan Persekutuan.

"Kita telah melihat hasil beberapa pilihan raya baru-baru ini, dan sukar bagi mana-mana parti untuk mendapatkan majoriti yang kukuh.

"Walaupun ada yang berjaya memperoleh majoriti, kemungkinan besar majoriti itu tipis dan mungkin tidak mencukupi untuk membentuk kerajaan yang stabil," katanya semasa Program Sesi Temu Bersama Anwar di Karnival GEN-AI: Generasi Ada Idea di sini pada Sabtu.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan salah seorang mahasiswa yang menyertai program tersebut.

Menurut Anwar, dalam tempoh dua tahun yang lalu, Malaysia telah dianggap sebagai salah satu negara paling stabil di rantau ini, menarik perhatian dan minat negara-negara lain.

"Ketika Malaysia ingin menyertai BRICS baru-baru ini, negara ini termasuk dalam kalangan 30 negara teratas yang permohonannya diterima tanpa sebarang halangan.

Artikel Berkaitan:

"Semasa perbincangan, saya dimaklumkan bahawa mesyuarat berlangsung di lapan negara anggota yang dipengerusikan oleh Presiden Rusia, Vladimir Putin.

"30 pemohon, Malaysia merupakan antara negara yang disyorkan untuk diterima awal, terutamanya disebabkan potensinya, kedudukannya yang strategik, serta hubungan baiknya dengan banyak negara," katanya.

Anwar menegaskan bahawa Malaysia menerima sokongan besar hasil daripada kestabilan negara yang turut melibatkan sokongan daripada gabungan seperti UMNO-BN.

Beliau menambah bahawa kestabilan ini telah menjadi asas penting bagi hala tuju dasar negara yang jelas, baik pada masa kini mahupun pada masa hadapan.

Untuk rekod, Kerajaan Perpaduan terbentuk pada tahun 2022 selepas Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bertitah Kerajaan Perpaduan dibentuk selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) tiada parti berjaya mendapat majoriti untuk membentuk kerajaan.

18 parti di dalam Kerajaan Perpaduan terdiri daripada lima gabungan politik iaitu PH, BN, Gabungan Parti Sarawak (GPS), Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan Parti Warisan (Warisan).

Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) yang sebelum ini menyertai Kerajaan Perpaduan kemudiannya bertindak menarik diri dan menyertai blok pembangkang sebagai kuasa ketiga.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!