Seorang lagi didakwa sebar berita palsu koronavirus

Salehhudin merasmikan Balai Polis Rengit, Batu Pahat di sini hari ini.
Salehhudin merasmikan Balai Polis Rengit, Batu Pahat di sini hari ini.
A
A
A

BATU PAHAT - Seorang lagi individu berasal dari Sandakan, Sabah akan didakwa di mahkamah minggu ini kerana menyebar berita palsu berkaitan penularan koronavirus.

Timbalan Pengarah Siasatan/Perundangan Jabatan Siasatan Jenayah PDRM, Deputi Komisioner Datuk Salehhudin Abdul Rahman berkata, setakat ini, sebanyak 21 laporan diterima berkaitan penyebaran berita palsu berkenaan wabak koronavirus di seluruh negara di mana dua kes telah didakwa di mahkamah.

"Terbaharu, penyebaran berita palsu di Sabah di mana pendakwaan akan dilakukan di Sandakan dalam minggu ini.

"Dua kes sebelum ini telah dituduh. Polis memandang serius penyebaran berita palsu tentang penularan wabak koronavirus kerana boleh menimbulkan kebimbangan orang ramai," katanya pada majlis perasmian Balai Polis Rengit di sini hari ini.

Hadir sama, Ketua Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti, Senior Asisten Komisioner Razimi Ahmad.

Salehhudin turut mengingatkan masyarakat supaya tidak menokok tambah perkara yang tiada kena-mengena kerana boleh didakwa menyebar berita palsu.

Terdahulu, pada 6 Februari lalu seorang penjual santan didakwa di Mahkamah Majistret Kuala Terengganu kerana menyebar berita palsu berkaitan koronavirus di laman sosial pada 27 Januari lalu.

Sebelum itu pada 5 Februari lalu, seorang wartawan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di Kuala Lumpur atas tiga tuduhan membuat kenyataan mengenai isu jangkitan koronavirus di laman Facebook miliknya.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!