RUU Mufti Wilayah Persekutuan: Hormati institusi pentadbiran agama - IKIM
SHAH ALAM - Pihak yang terlibat membahaskan mengenai Rang Undang-Undang (RUU) Mufti (Wilayah Persekutuan) 2024 dinasihati supaya memohon maaf atas keterlanjuran mempertikaikan perkara tersebut.
Ketua Pengarah Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM), Profesor Datuk Dr Mohamad Azam Mohamed Adil berkata, ia berikutan tindakan yang hanya berdasarkan perbezaan pandangan adalah tindakan yang terburu-buru.
Menurutnya, perkara tersebut juga boleh menjejaskan kredibiliti institusi pentadbiran agama serta melangkau adab serta tatasusila kesopanan.
“IKIM kesal terhadap kenyataan terbuka seorang ahli akademik tanpa menjaga batas kehormatan dan ingin menegaskan kepentingan menghormati institusi pentadbiran agama dan proses perundangan yang sedang berjalan.
“IKIM memahami bahawa RUU ini telah menimbulkan perdebatan dan perbezaan pendapat, tetapi penting untuk semua pihak mengamalkan sikap terbuka serta berbincang secara berhemah untuk mencari penyelesaian terbaik.
“Semua pihak yang memerlukan penjelasan lanjut boleh merujuk Sahibul Samahah Mufti Wilayah Persekutuan dalam slot Analisis TV AlHijrah pada 29 Oktober lalu,” katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.
“Marilah kita bersama-sama mengekalkan kehormatan institusi pentadbiran agama, menjaga keharmonian dan kestabilan negara.
“IKIM percaya bahawa Mufti Wilayah Persekutuan sebagai pihak berautoriti dalam hal ehwal agama telah memberikan penjelasan yang komprehensif terhadap isu yang dibangkitkan,” ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!