Perak intai potensi pasar produk durian, pekasam ke China

Produk berasaskan durian serta pekasam antara yang berpotensi untuk dipasarkan di China. Foto hiasan
Produk berasaskan durian serta pekasam antara yang berpotensi untuk dipasarkan di China. Foto hiasan
A
A
A

IPOH - Produk berasaskan durian serta pekasam antara yang berpotensi untuk dipasarkan di China menerusi kerjasama dengan syarikat di negara tersebut.

Exco Wanita, Keluarga, Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Usahawan dan Koperasi Perak, Datuk Salbiah Mohamed berkata, beberapa produk usahawan dibawa ke China pada pertengahan Oktober lalu menerusi jemputan daripada Persatuan MyGerak Import & Export yang bekerjasama dengan Syarikat Shandong Lin Hua Group dari China.

Menurutnya, seramai 11 usahawan Perak bersama lebih 20 jenis produk berpotensi dibawa bersama untuk dipasarkan di negara tersebut.

"Kita nampak responnya memang baik terutama produk berasaskan durian seperti coklat durian, biskut durian, kopi durian dan sebagainya.

Kita mengharapkan agar usahawan kita bersedia dari segi produk mereka, menambah baik dari segi bungkusan, label dan kualiti produk supaya berjaya di sana.

"Mungkin usahawan yang tanam durian boleh menghasilkan produk-produk inovasi berasaskan durian termasuk pekasam juga sebab rakyat China suka makanan seperti itu dan boleh diterima di sana, cuma takut ikan tak cukup sahaja nanti," katanya kepada pemberita.

Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan Program One Stop Center Sejahtera Rakyat Daerah Kinta di Kolej Poly-Tech Mara di sini pada Sabtu.

Jelasnya, produk usahawan Malaysia mempunyai potensi besar untuk dipasarkan di China malah hampir separuh daripada produk usahawan Perak berjaya diterima di sana.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, mengenai Program One Stop Center Sejahtera Rakyat, Salbiah berkata, memasuki siri keenam, program tersebut menampakkan keberkesanan dalam usaha menoktahkan kemiskinan di negeri ini.

Menurutnya, setiap kali program, golongan yang kurang berkemampuan diberikan pendedahan mengenai peluang dan ruang untuk mereka keluar dari kepompong kemiskinan.

Katanya, pelbagai agensi berkaitan terlibat termasuklah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk), Pusat Aspirasi Anak Perak (Pasak), Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan banyak lagi.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!