Remaja patah kaki, 2 rakan cedera dihempap pokok kelapa sawit
SELAMA - Tiga remaja cedera selepas ditimpa pokok kelapa sawit yang tumbang ketika berteduh di dalam sebuah khemah dalam kejadian di Kampung Sungai Kuning di sini pada Sabtu.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata, pihaknya menerima panggilan mengenai kejadian tersebut pada jam 1.44 tengah hari sebelum sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Selama tiba tujuh minit kemudian.
Menurutnya, setiba di lokasi kejadian mendapati terdapat tiga mangsa lelaki berusia antara 17 hingga 20 tahun yang mengalami kecederaan.
"Pokok kelapa sawit itu dipercayai tumbang ketika mereka sedang berteduh di bawah sebuah khemah kanopi disebabkan hujan ribut semasa menghadiri satu majlis perkahwinan di kawasan berkenaan.
"Seorang mangsa mengalami kecederaan patah kedua-dua kaki manakala dua lagi mangsa hanya cedera ringan," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.
Sabarodzi berkata, ketua operasi mengarahkan anggota melaksanakan kerja-kerja pemotongan batang pokok yang menghempap salah seorang mangsa menggunakan peralatan gergaji berantai.
Menurutnya, setelah batang pokok berjaya dipotong, mangsa yang cedera parah telah diserahkan kepada pihak Kementerian Kesihatan untuk tindakan lanjut.
Jelasnya, operasi yang disertai lapan anggota itu berjaya dikawal tamat sepenuhnya pada jam 2.48 petang.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!