Banjir: Angka kematian di Sepanyol meningkat kepada 207 orang
MADRID - Angka kematian akibat banjir kilat di wilayah selatan dan timur Sepanyol meningkat sedikit kepada 207 orang, kata seorang menteri pada Sabtu, lapor agensi berita Jerman (dpa).
Menteri Dalam Negeri, Fernando Grande-Marlaska yang bercakap kepada stesen penyiar Cadena SER, mengemas kini jumlah kematian dalam bencana banjir terburuk di Sepanyol sejak beberapa dekad. Sebelum ini 205 kematian disahkan.
Grande-Marlaska berkata, beliau menjangkakan angka berkenaan akan meningkat dalam beberapa jam akan datang ketika pasukan penyelamat terus melakukan pencarian di kawasan yang paling terjejas.
Sekurang-kurangnya 204 kematian dicatatkan di Wilayah Valencia sahaja. Tiga lagi kematian dilaporkan di wilayah Castilla-La Mancha dan Andalusia.
Terdapat kebimbangan, lebih ramai mangsa mungkin ditemukan mati di dalam kenderaan yang dihanyutkan oleh hujan lebat yang membanjiri bandar dan menyebabkan sungai melimpah awal minggu ini.
Lebih 1,700 anggota tentera membantu melakukan kerja mencari dan menyelamat di Wilayah Valencia manakala ribuan sukarelawan turut tampil membantu pasukan kecemasan tempatan. - Bernama-dpa
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!