Kartina terbit dua aplikasi mudah alih di ketinggian 4,095 meter

Kartina berjaya menerbitkan dua aplikasi mudah alih dari ketinggian 4,095 meter di Gunung Kinabalu, Sabah pada pendakian kelimanya. Foto Sekretariat Ekpedisi AMB
Kartina berjaya menerbitkan dua aplikasi mudah alih dari ketinggian 4,095 meter di Gunung Kinabalu, Sabah pada pendakian kelimanya. Foto Sekretariat Ekpedisi AMB
A
A
A

SHAH ALAM - Usaha luar biasa seorang tenaga pengajar aplikasi mudah alih, Kartina Abdul Ghani, 53, mencipta sejarah tersendiri apabila berjaya menerbitkan dua aplikasi mudah alih di puncak tertinggi Malaysia iaitu Gunung Kinabalu.

Akademi Apps Master Builder (Akademi AMB) dalam satu kenyataan berkata, hasil ciptaan ibu tunggal kepada lima anak itu berjaya diterbitkan ke 'Google Play Store' dan 'Apple App Store' sekali gus mencerminkan semangat juang serta kebolehan teknologi Kartina dalam bidang pembangunan aplikasi.

"Tepat jam 6.27 pagi (Khamis), aplikasi Ensiklopedia Hidupan Liar Sabah dan Kalendar Perayaan serta Festival Sabah berjaya dilancarkan.

"Kartina, pengasas yang juga tenaga pengajar di Akademi AMB memulakan pendakian pertamanya pada 15 Oktober lalu dan berjaya tiba ke puncak pada pendakian kelimanya Khamis lalu," katanya pada Sabtu.

Mengulas lanjut, kenyataan itu memaklumkan, menerusi ekspedisi yang cukup mencabar tersebut, Kartina merancang untuk mendaki Gunung Kinabalu sebanyak sembilan kali sehingga 9 November depan.

Katanya, sasaran wanita berkenaan adalah untuk menerbitkan sembilan aplikasi dalam ekspedisi itu.

Tambahnya, selepas ekspedisi ini, Kartina akan meneruskan misi antarabangsa ke Poland dan kemudian ke Kem Pangkalan Everest tahun hadapan dengan harapan besar untuk mendaki puncak tertinggi dunia, Gunung Everest pada 2026.

"Kartina turut membuka peluang eksklusif kepada wartawan yang ingin mengikutinya dalam baki empat lagi pendakian terakhir di Gunung Kinabalu dengan syarat peserta haruslah sihat tubuh badan dan cukup stamina untuk mengikuti ekspedisi lasak ini.

Artikel Berkaitan:

"Ini adalah peluang unik bagi media untuk menyaksikan secara langsung keupayaan Kartina dalam menghasilkan aplikasi mudah alih dari salah satu puncak tertinggi di Asia Tenggara sambil mendaki gunung.

"Ekspedisi Kartina ini bukan sahaja membuktikan keupayaan seorang ibu tunggal tetapi turut memberi inspirasi kepada semua wanita Malaysia dalam bidang teknologi," ujarnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!