JKDM nafi Anis Rizana salah guna peruntukan untuk bercuti

Anis Rizana
Anis Rizana
A
A
A

SHAH ALAM - Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) menafikan hantaran tular yang mendakwa Ketua Pengarah Kastam (KPK), Datuk Anis Rizana Mohd Zainudin menyalahgunakan peruntukan kerajaan untuk bercuti di Bangkok, Thailand baru-baru ini.

JKDM menerusi kenyataan memaklumkan dakwaan itu turut menyatakan Anis Rizana bercuti bersama keluarga dengan menaiki penerbangan kelas perniagaan.

Menurutnya, JKDM ingin membuat penafian terhadap tohmahan dan fitnah tidak berasas yang telah dikeluarkan oleh pihak tidak bertanggungjawab itu.

"Dimaklumkan bahawa pengambilan cuti KPK selama dua hari, iaitu pada 30 Oktober 2024 dan 1 November 2024 telah diluluskan Datuk Ketua Setiausaha Perbendaharaan (KSP) selaku Pegawai Pengawal JKDM melalui Sistem HRMIS, selaras dengan Pekeliling Perkhidmatan Sumber Manusia - Kemudahan Cuti, Ceraian SR.5.1.1.

"Beliau juga meluluskan permohonan KPK ke luar negara atas urusan peribadi mengikut Surat Pekeliling Am Bilangan 3 Tahun 2012, Peraturan Perjalanan Pegawai Awam ke Luar Negara atas Urusan Persendirian," katanya menerusi kenyataan pada Sabtu.

Katanya, tiada sebarang peruntukan jabatan digunakan untuk membayar kos penerbangan atau penginapan atau sebarang kos lain yang berkaitan.

"Tiada peruntukan digunakan untuk perjalanan KPK dan keluarga ke Bangkok seperti yang ditohmah di platform media berkenaan.

"Segala kos sepanjang lawatan peribadi tersebut ditanggung sepenuhnya oleh KPK sendiri," katanya.

Artikel Berkaitan:

Menurut kenyataan itu, semasa KPK berada di Bangkok atas urusan peribadi, beliau telah mengambil peluang untuk menghadiri Kejohanan Tinju Antarabangsa.

"Ini bagi menyokong dan memberi semangat kepada warga JKDM iaitu Adli Hafidz yang mewakili Malaysia dan memenangi kejohanan antarabangsa tersebut serta mengharumkan nama negara.

"Adalah menjadi amalan KPK untuk sering memberi sokongan yang padu serta semangat kepada warga JKDM dalam mencapai kejayaan yang cemerlang," katanya.

Tambahnya, diharapkan dengan penjelasan ini, sebarang kekeliruan atau spekulasi yang tidak berasas dapat dihentikan.

"JKDM meminta semua pihak untuk memberikan fokus kepada usaha-usaha menjaga keselamatan dan kestabilan ekonomi negara, serta terus mempercayai integriti dan dedikasi yang dipegang KPK.

"JKDM sentiasa berusaha menangani penyebaran sebarang bentuk surat, emel, berita ataupun apa-apa kenyataan palsu yang dibuat oleh pihak tidak bertanggungjawab secara berterusan bagi memastikan kepentingan awam sentiasa terpelihara," katanya.

Jelas kenyataan itu, laporan polis juga telah dibuat untuk menjaga nama baik dan imej KPK dan JKDM bagi menafikan tentang tohmahan dan fitnah berkenaan.

"JKDM meminta orang ramai agar lebih berhati-hati dan prihatin dengan membuat semakan dan pengesahan terlebih dahulu daripada sumber rasmi JKDM mengenai apa-apa maklumat yang diterima," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!