Tiga individu ditahan bersama 25 ketulan mampat ganja
GEORGE TOWN - Tiga individu termasuk seorang wanita ditahan bersama 25 ketulan mampat dadah jenis ganja bernilai RM79,680 dalam satu serbuan di kawasan parkir kereta di Gelugor di sini pada Jumaat.
Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Hamzah Ahmad berkata, suspek berusia antara 19 hingga 49 tahun itu ditangkap dalam serbuan oleh sepasukan anggota dari Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Kontinjen Pulau Pinang pada jam 4.45 petang.
Menurutnya, hasil pemeriksaan yang dibuat menemui satu kotak berwarna coklat bertulisan Thailand yang mengandungi 20 ketulan dadah jenis ganja seberat 20,696 gram.
"Pemeriksaan lanjut menemui satu beg kain berwarna hitam di dalamnya mengandungi lima lagi ketulan dadah jenis sama seberat 5,224 gram," katanya menerusi kenyataan di sini pada Sabtu.
Hamzah berkata, hasil risikan mendapati aktiviti pengedaran dadah oleh sindiket ini bergiat aktif sejak pertengahan tahun ini.
Katanya, jumlah keseluruhan dadah yang dirampas boleh digunakan oleh 60,000 penagih dadah.
"Hasil ujian saringan air kencing yang dilakukan terhadap semua suspek mendapati mereka negatif dadah.
"Bagaimanapun, semakan yang dibuat mendapati kesemua mereka mempunyai rekod kesalahan lampau bersabit kes jenayah dan dadah," katanya.
Beliau berkata, kesemua suspek kini direman selama tujuh hari bermula 2 November sehingga 8 November untuk tindakan lanjut.
Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman mati atau penjara seumur hidup jika disabitkan kesalahan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!