SuperKIP patah tangan kiri, terlepas perlumbaan sebenar esok
NASIB malang menimpa pelumba wildcard negara Khairul Idham Pawi dan Helmi Azman selepas kedua-dua pelumba itu terlibat dalam kemalangan pada penghujung perlumbaan pusingan kelayakan 1 bagi kelas Moto2 di MotoGP Grand Prix (GP) Malaysia di Litar Antarabangsa Sepang, di Sepang pada Sabtu.
Dalam sesi kelayakan tersebut, kedua-dua pelumba pasukan Petronas MIE Racing RW terlibat dalam insiden itu apabila jentera Helmi hilang kawalan di selekoh lapan sebelum dilanggar oleh Khairul Idham, yang lebih dikenali sebagai 'SuperKIP', yang pada ketika itu mengekori rapat di belakang.
Pengurus pasukan Razmin Masli Abdul Razak berkata, Khairul Idham mengalami patah tangan kiri selain cedera di bahagian kaki dan tidak dapat bersaing esok manakala Helmi tidak mengalami kecederaan serius dan dapat meneruskan saingan.
"Khairul Idham patah tangan selepas ujian imbasan sinar-X dan kecederaan itu disahkan di pusat perubatan. Namun, untuk kecederaan di kaki, dia masih perlu menjalani ujian CT Scan. Helmi pula tidak mengalami kecederaan serius, cuma kecederaan ringan.
"Harap dia (Helmi) dapat teruskan aksi seperti biasa esok," katanya kepada pemberita.
Sementara itu, pemilik MIE Racing Midori Moriwaki menyuarakan keyakinan bahawa Helmi akan dapat menampilkan tunggangan terbaiknya dalam perlumbaan esok walaupun terlibat dalam kemalangan.
"Saya tahu dia teruja untuk berlumba dan saya pasti Helmi akan memberikan yang terbaik untuk Jalur Gemilang dan juga untuk penaja Petronas," katanya. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!