MotoGP: Martin simpati mangsa banjir di negaranya
PELUMBA Prima Pramac Racing, Jorge Martin enggan meraikan kemenangan besarnya dalam perlumbaan pecut MotoGP Grand Prix (GP) Malaysia 2024 di Litar Antarabangsa Sepang hari ini sebagai tanda hormat kepada mangsa banjir di Valencia, Sepanyol yang telah meragut lebih 200 nyawa setakat ini.
"Hari ini, doa saya adalah untuk semua yang berada di kampung halaman di Valencia. Tiada apa yang boleh diraikan hari ini," kata pelumba Sepanyol itu selepas perlumbaan itu.
Pelumba berusia 26 tahun itu melengkapkan 10 pusingan perlumbaan pecut dengan catatan terpantas 19 minit 49.230 saat (s), sekali gus mengukuhkan kedudukannya sebagai pendahulu kejuaraan dengan 465 mata, meninggalkan juara bertahan Francesco Bagnaia dari pasukan Ducati Lenovo di tempat kedua dengan 436 mata.
Bagnaia mengalami hari yang malang apabila terbabas di selekoh 9 pada pusingan kedua membolehkan Martin untuk mencipta jarak sekurang-kurangnya sembilan mata dalam perlumbaan utama esok untuk dinobatkan sebagai juara dunia baharu ketika musim 2024 menuju ke pusingan terakhir selepas Sepang.
Bagaimanapun, Bagnaia mencatat masa terpantas 1'56.337s pada sesi kelayakan untuk menyambar petak utama manakala Martin ketinggalan 0.216s di petak kedua pada perlumbaan esok.
Perlumbaan terakhir musim ini yang sepatutnya berlangsung di Valencia dari 15 hingga 17 November ini telah dibatalkan kerana banjir besar dan pihak penganjur dijangka mengumumkan lokasi baharu bagi perlumbaan penutup musim tidak lama lagi.
Menjelang perlumbaan utama esok, Martin mengakui perlunya memperbaiki prestasinya daripada perlumbaan pecut hari ini untuk merebut kemenangan di Sepang.
Walaupun gagal menamatkan perlumbaan pecut, juara dunia dua kali berturut-turut Bagnaia kekal optimis dan bertekad untuk menggunakan pendekatan yang lebih agresif dalam perlumbaan utama esok.
"Saya rasa saya boleh lebih agresif. Jika anda lihat pusingan awal saya dalam perlumbaan panjang, saya sentiasa berjaya memintas posisi, saya sentiasa menyerang," katanya. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!