Wanita hanyut dibawa kepala air ditemukan lemas
ALOR SETAR - Seorang wanita yang dihanyutkan arus deras akibat kepala air di Taman Eco Rimba, Sungai Sedim di daerah Kulim ditemukan lemas pada Sabtu.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kulim Hi Tech, Penolong Kanan Penguasa Bomba Azmir Hassan berkata, mangsa, A Kasthuri, 41, ditemui orang awam bersama anggota bomba semasa pencarian di sepanjang tebing sungai itu pada jam 5.50 petang.
"Mangsa ditemui di kawasan Lubuk Buluh iaitu kira-kira satu kilometer dari lokasi mangsa dilaporkan hilang.
“Bagaimanapun, wanita terbabit didapati telah meninggal dunia," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.
Beliau menambah, mayat mangsa kemudiannya diserahkan kepada pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk tindakan lanjut.
Sebelum ini, media melaporkan seorang wanita dikhuatiri lemas akibat dihanyutkan arus deras dipercayai kepala air di kawasan perkelahan tersebut.
Wanita itu dipercayai bersama keluarga sedang berkelah dan riadah sempena cuti Deepavali sebelum secara tiba-tiba muncul kepala air dan mangsa tidak sempat menyelamatkan diri.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!