Ketua Bersatu Bahagian Tenggara, ahli jawatankuasa umum keluar parti
KOTA TINGGI - Ketua Bersatu Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Bahagian Tenggara, Hassan Rasid dan ahli jawatankuasa bahagian pada Sabtu mengumumkan keluar dari parti berkuat kuasa serta-merta.
Menurut beliau, keputusan itu diambil setelah melalui pertimbangan mendalam dan merujuk kepada beberapa isu yang dianggap kritikal selain tidak lagi yakin dengan kepimpinan tertinggi parti.
"Tiga cawangan Srikandi cawangan yang layak bersidang iaitu Cawangan Bandar Tenggara Selatan, Pengeli Timur, Pelepah Valley juga tidak tersenarai dalam perwakilan pemilihan Srikandi Bahagian Tenggara pada 26 Oktober sebaliknya Jawatankuasa Srikandi Bahagian Tenggara telah digantung daripada bersidang.
“Pada 31 Oktober 2024, jam 6.30 petang, kami telah menerima mesej melalui WhatsApp mengenai pembatalan tiga cawangan di Tenggara bagi hari pemilihan yang akan berlangsung pada hari ini.
“Cawangan-cawangan yang terlibat adalah Kota Jaya Selatan, Bandar Tenggara Selatan dan Sungai Telor. Sementara itu, pihak kami hanya menerima surat rasmi semalam daripada pihak pengurusan,” katanya pada sidang akhbar Dewan Sri Teratai, Batu 4 di sini pada Sabtu.
Menurutnya, lima laporan polis juga dibuat termasuk daripadanya, Bersatu Cawangan Bandar Tenggara, Bersatu Cawangan Tenggara Selatan, Bersatu Cawangan Pelepah Valley dan Bersatu Cawangan Pengeli Timur terhadap isu pengurusan parti.
Jelas beliau, bahagian itu mempunyai 19 cawangan dengan jumlah ahli keseluruhan seramai 1,263 ahli.
Kira-kira 200 Bahagian Bersatu di seluruh negara mengadakan pemilihan pada Sabtu.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!