Tiada toleransi isu buli di institusi pendidikan
SHAH ALAM - Pertubuhan Ikatan Komuniti Selamat menegaskan pendekatan tanpa toleransi terhadap isu buli di institusi pendidikan dan tindakan segera perlu dilaksanakan untuk menangani isu berkenaan.
Pengerusinya, Tan Sri Dr Lee Lam Thye berkata, jenayah buli kekal sebagai isu berterusan di sekolah, universiti dan institusi pembelajaran di seluruh dunia.
"Kami percaya bahawa persekitaran pendidikan harus menjadi ruang yang selamat dan inklusif di mana pelajar dapat belajar, berkembang serta maju tanpa rasa takut.
"Buli, dalam apa jua bentuk sama ada fizikal, verbal, emosi atau siber boleh menyebabkan kesan buruk yang berpanjangan kepada individu dan komuniti secara keseluruhan.
"Buli bukan sahaja memberi kesan kepada kesihatan mental dan fizikal pelajar tetapi juga menghalang perkembangan akademik serta sosial mereka," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.
Sebelum ini media melaporkan, polis mengesahkan seorang pelajar Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) ditekap seterika pada bahagian dada ketika disuruh menggosok baju kerja milik seniornya dalam kejadian di bilik asrama universiti berkenaan, 22 Oktober lalu.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, laporan berkaitan kejadian berkenaan dibuat mangsa kira-kira jam 8.23 malam, pada Jumaat.
Mengulas lanjut, Lam Thye memaklumkan, penyelidikan menunjukkan bahawa mangsa buli sering mengalami kebimbangan, kemurungan dan prestasi akademik yang rendah.
Tambahnya, ia juga dikaitkan dengan peningkatan risiko mencederakan diri sendiri dan masalah kesihatan mental lain.
Tegas beliau, budaya berkenaan jelas merosakkan seluruh persekitaran pendidikan, mewujudkan suasana tidak mesra dan tidak selamat yang menjejaskan semua pelajar, guru serta kakitangan.
Justeru katanya, satu dasar Anti-Buli yang jelas perlu diwujudkan di setiap institusi dan ia wajib dikuatkuasakan dengan tegas.
"Inisiatif itu adalah dengan mentakrifkan perbuatan buli dan menyatakan akibat daripada tingkah laku sedemikian. Dasar ini mesti disampaikan dengan jelas kepada semua pelajar, ibu bapa serta kakitangan.
"Selain itu, laksanakan program pendidikan dan kesedaran secara menyeluruh di peringkat sekolah serta universiti menerusi program integrasi antibuli dan pembangunan empati dalam kurikulum pelajar," jelasnya.
Menurutnya lagi, program tersebut dapat membantu pelajar mengenal pasti buli, memahami kesan dan mempelajari cara bertindak dengan betul jika menyaksikan atau mengalaminya.
Ujar Lam Thye, satu latihan untuk pendidik dan kakitangan juga perlu dilaksanakan melibatkan guru, pentadbir dan kakitangan lain bagi mengenal pasti, mencegah serta bertindak terhadap buli.
Tambah beliau, ia termasuk untuk memahami tanda-tanda kes buli, menyokong pelajar yang terjejas dan menggalakkan budaya inklusi serta hormat dalam kelas serta di kampus.
"Pada masa sama, mekanisme pelaporan dan sistem sokongan juga perlu disediakan agar ia mudah diakses oleh pelajar untuk melaporkan kejadian buli.
"Ini termasuk sistem pelaporan tanpa nama dan kaunselor ditugaskan untuk memberi sokongan kepada mereka yang terkesan. Institusi perlu memastikan siasatan serta penyelesaian kes dilaporkan dilakukan dengan cepat," katanya.
Mengulas lanjut, beliau turut mencadangkan agar campur tangan rakan sebaya wajib digalakkan dalam membendung gejala itu kerana penyelidikan menunjukkan bahawa langkah berkenaan boleh mengurangkan isu buli dengan ketara.
Ujarnya, pihak sekolah perlu menggalakkan pelajar untuk bersuara, melaporkan kejadian buli dan menyokong rakan kerana ia membantu membina budaya hormat serta tanggungjawab bersama.
Tambah Lam Thye, kerjasama ibu bapa dan komuniti juga penting dalam menangani isu buli.
"Sekolah perlu melibatkan keluarga melalui bengkel dan sesi maklumat, mendidik mereka tentang tanda-tanda buli dan cara menyokong anak-anak mereka dalam situasi yang sukar.
"Buli tidak mempunyai tempat di institusi pendidikan kita. Kami berdiri teguh menentang semua bentuk buli dan akan terus memperjuangkan persekitaran pembelajaran yang lebih selamat serta inklusif.
"Kami menyeru pihak berkuasa pendidikan, pembuat dasar dan masyarakat untuk mengambil langkah segera ke arah mengakhiri buli dan memastikan semua pelajar dapat belajar dalam suasana yang menyokong serta bebas daripada ketakutan," tegasnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!