Usaha cegah pencemaran gagal meskipun kerajaan berbelanja RM855 juta
SHAH ALAM - Isu pencemaran di Pantai Esen di Pulau Pinang didakwa tidak akan berlaku jika projek tambakan laut di kawasan berkenaan dipantau rapi oleh Pusat Kawalan Alam Sekitar Nasional (NECC).
Bekas Pengarah Air dan Marin, Ibu Pejabat Jabatan Alam Sekitar (JAS) Putrajaya, Jalaluddin Ismail berkata, ini kerana Program Pemantauan Kualiti Alam Sekitar (EQMP) di bawah NECC dilakukan melalui stesen pengawasan automatik dan manual bagi mengesan pencemaran yang berlaku.
Menurutnya, kerajaan mengeluarkan belanja RM855 juta untuk Program Pemantauan Kualiti Alam Sekitar (EQMP) dengan melantik syarikat konsesi selama 14 tahun tetapi kes pencemaran udara, laut dan sungai di negara masih berlaku.
“Pengawasan berkenaan adalah meliputi tumpahan minyak, bencana industri dan pelupusan haram buangan toksid berbahaya.
“NECC yang sepatutnya akan bantu tugas penguatkuasaan yang akan dijalankan oleh JAS, tetapi sekarang apa yang berlaku NECC yang turut bekerjasama dengan syarikat konsesi yang dilantik oleh kerajaan di bawah Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar tidak berfungsi seperti yang dikehendaki,” katanya pada Sabtu.
Beliau berkata demikian ketika mengulas mengenai keadaan Pantai Esen yang kini dipenuhi lumpur selut dan berbau dengan air pantainya berwarna kehitaman, dipercayai ada kaitan dengan projek penambakan yang terletak tidak jauh dari kawasan pantai berkenaan.
Menerusi laporan media, pencemaran itu dilaporkan turut memberi kesan kepada pengusaha sukan air dan pengunjung kerana tidak dapat mandi-manda di kawasan terbabit.
Jelasnya, NECC bertanggungjawab sepenuhnya untuk memantau pencemaran udara, sungai dan juga laut di seluruh negara.
“Lebih membimbangkan pencemaran dapat dikesan bila keadaan dah terlalu teruk itu pun kerana aduan daripada orang awam,”ujarnya.
Beliau yang juga bekas Pengarah JAS Selangor berharap kerajaan dapat mengkaji semula keperluan program EQMP berkenaan kerana tidak mencapai tahap yang diharapkan.
“Kena lihat balik keperluan kerana program berkenaan seolah-olah tidak membantu dengan pertambahan kes pencemaran kritikal yang berlaku dalam negara termasuk kes pencemaran Sungai Kim-Kim di Pasir Gudang,Johor,” katanya.
Pada tahun 2017, Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar telah menandatangani perjanjian konsesi dengan pakar alam sekitar Scieno TW Sdn Bhd, merangkumi pengumpulan data berasaskan masa nyata bagi tujuan pemantauan udara, sungai dan marin serta penubuhan Pusat Kawalan Alam Sekitar Nasional (NECC).
EQMP turut berperanan membantu dalam membangunkan dasar dan membantu dalam membuat keputusan untuk kesejahteraan rakyat dan negara melalui penyediaan aktiviti penguatkuasaan, input dan perancangan projek pembangunan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!