Meja Bulat platform diskusi dan resolusi demi negara
SHAH ALAM - Program terbaharu terbitan Sinar Harian, Meja Bulat yang disiarkan esok merupakan platfrom penting membincangkan pelbagai topik hangat dan isu semasa di samping memberikan syor atau cadangan penambahbaikan kepada kerajaan.
Pengarang Eksekutif (Digital) Sinar Harian, Ruzy Adila Idris berkata, konsep yang diketengahkan kali ini berbeza berbanding beberapa program sebelumnya kerana barisan panelis terdiri daripada pembuat dasar, kumpulan profesional dan golongan pemikir kritis.
Menurut beliau, panelis jemputan lazimnya dipilih berdasarkan ilmu pengetahuan dan kepakaran dalam bidang masing-masing.
“Setiap program Sinar Harian berbeza naratifnya termasuk pengikut dan pembaca. Episod pertama memfokuskan sistem pendidikan negara dan sebanyak 20 syor telah dibentangkan.
“Kami bukan pihak berkuasa mahupun pembuat dasar kerajaan, tetapi syor atau cadangan yang dikemukakan panelis diharap dapat menjadi nilai tambah dalam institusi ilmu dan pendidikan demi kebaikan negara.
“Harapan kami supaya Kerajaan Perpaduan, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan masyarakat bersama-sama membantu pihak berkaitan memberikan input terbaik untuk masa depan anak bangsa,” katanya pada Sabtu.
Program Meja Bulat: Diskusi Mencipta Resolusi bertajuk ‘Sistem Pendidikan Malaysia: Selepas 60 Tahun, Di Mana Silapnya?’ membahaskan cabaran dan penambahbaikan sistem pendidikan negara selari transformasi semasa.
Episod pertama bakal bersiaran secara langsung di semua platform digital Sinar Harian dan boleh didapati di laman sesawang Sinar Premium pada Isnin jam 8 malam.
Diskusi yang dihoskan oleh bekas Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), Tan Sri Dr Zulkurnain Awang itu turut dibarisi panelis hebat seperti bekas Menteri Pendidikan, Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin; bekas Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Dr Masrizal Muhammad serta Profesor Madya Sekolah Politik dan Hubungan Antarabangsa, Universiti Nottingham Malaysia, Dr Tricia Yeoh.
Ditanya mengenai harapan selepas menjayakan episod sulung Meja Bulat, Ruzy Adila berharap kerajaan dapat melahirkan satu ekosistem pendidikan yang terbaik selain memberikan keselesaan kepada semua pihak terutama guru dan pelajar.
Bukan itu sahaja, dalam masa sama, pihaknya juga sedang mengadakan perbincangan pemilihan topik untuk episod seterusnya yang akan diberitahu kemudian.
“Kami sedang menilai untuk membincangkan isu kesihatan, keselamatan sempadan negara dan penerapan konsep Kelestarian Alam Sekitar, Sosial serta Tadbir Urus (ESG).
“Justeru, program ini disiarkan secara eksklusif dan pembaca yang ingin menonton perlu melanggan kandungan Sinar Premium.
“Sinar Harian juga terbuka menerima sebarang komen untuk penambahbaikan episod akan datang dan semoga setiap pengisian memberikan manfaat buat semua pembaca,” ujar beliau lagi.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!