Buli tekap seterika: Mangsa boleh kemuka saman sivil, tuntut ganti rugi

Laporan Sinar Harian
Laporan Sinar Harian
A
A
A

SHAH ALAM – Pelajar Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) yang dibuli selepas dadanya ditekap seterika boleh mengemukakan saman sivil terhadap pelaku dan pihak universiti bagi menuntut ganti rugi selain tindakan dilakukan polis di bawah undang-undang jenayah.

Peguam, Noorazmir Zakaria berkata, mangsa boleh menuntut ganti rugi am termasuk ganti rugi teladan yang nilainya akan diputuskan oleh hakim.

“Saman sivil kepada pihak universiti pula boleh dibuat atas tuntutan tort (suatu kesalahan sivil) kecuaian.

“Mahkamah akan mengambil kira kecederaan dan kesan yang perlu ditanggung mangsa akibat kecederaan fizikal mahupun mental dalam menentukan jumlah ganti rugi tersebut,” katanya kepada Sinar Ahad.Noorazmir menegaskan, nilai ganti rugi yang dikenakan nanti lazimnya akan diputuskan mahkamah untuk memberi pengajaran kepada pelaku dan orang awam supaya tidak melakukan perbuatan serupa.

“Selain itu, dalam tuntutan sivil ke atas pelaku juga, mangsa juga boleh menuntut perintah tegahan agar pelaku tidak lagi mengulangi perbuatan buli pada masa depan,” ujar beliau.

Mengulas mengenai siasatan kes tersebut yang dilakukan polis di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan, Noorazmir berkata, jika sabit kesalahan bagi kes tersebut pelaku boleh dipenjarakan sehingga 10 tahun atau denda atau sebat, atau dengan mana-mana dua daripada hukuman-hukuman itu.

Jelas Noorazmir, Seksyen 324 Kanun Keseksaan berkaitan kesalahan jenayah sengaja mendatangkan kecederaan menggunakan senjata berbahaya.

INFO

Artikel Berkaitan:

Seksyen 324 Kanun Keseksaan

Jika sabit kesalahan, pelaku boleh dipenjarakan sehingga 10 tahun atau denda atau sebat, atau dengan mana-mana dua daripada hukuman-hukuman itu.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!