KNAL model terbaik projek nanas, bantu golongan B40
MERSING - Projek Kluster Nanas Lestari (KNAL) Tanah Abang, Mersing yang dirasmikan Sabtu lalu diharap dapat membantu melahirkan lebih ramai usahawan muda dalam bidang tanaman nanas pada masa akan datang.
Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata, ini lebih lagi dalam kalangan masyarakat B40 kerana bersesuaian dengan hasrat kerajaan untuk meningkatkan pendapatan golongan itu menerusi dasar Wawasan Kemakmuran Bersama 2030.
"Kita melakar mercu tanda di mana kita mempamerkan bagaimana penanaman nanas Premium MD2 akan dapat dijadikan sebagai perusahaan yang berimpak tinggi untuk memberi pendapatan kepada mereka yang terlibat khususnya golongan muda.
"Program juga didapati telah menepati hala tuju kementerian (MOA) untuk menggalakkan sektor swasta terlibat sama secara efisien untuk melaksanakan program berimpak tinggi," katanya kepada pemberita selepas merasmikan projek KNAL itu di sini Sabtu lalu.
Hadir sama, Pengerusi Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia (LPNM), Datuk Abdul Malik Abul Kassim; Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar) Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Haslina Abdul Hamid dan Pegawai Daerah Mersing Asman Shah Abdul Rahman.
Salahuddin berkata, projek KNAL membabitkan seramai 12 peserta itu dilaksanakan oleh LPNM secara usahasama dengan pihak Johor Corporation (JCorp), Kulim Malaysia Berhad, Agrobank dan Unit Agropreneur Muda MOA.
Beliau berkata, projek dijalankan di tanah berkeluasan keseluruhan 121.5 hektar di mana 48.5 hektar dibangunkan untuk projek KNAL yang melibatkan peserta projek.
“Kesemua peserta yang dipilih diperuntukkan keluasan maksimum 10 ekar (4 hektar) seorang secara berfasa dan dibekalkan bantuan benih nanas MD2 sebanyak 200,000 pokok.
“Peserta juga diberi bantuan geran daripada Unit Agropreneur Muda MOA sebanyak RM20,000 seorang yang meliputi pembekalan input pertanian dan peralatan.
“Agrobank selaku pihak pembiayaan pula menyuntik modal sebanyak RM50,000 seorang bagi pembangunan ladang yang pengurusannya dikendalikan oleh Kulim Pineaple Farm (KPF), anak syarikat Kulim Malaysia,” katanya. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!