Penyokong diminta faham situasi pasukan KDA FC
KETUA Jurulatih Kedah Darul Aman FC (KDA FC) Mohd Nafuzi Zain memohon agar penyokong dan peminat memahami keadaan pasukan serta menerima keputusan yang memihak kepada Selangor FC dalam perlawanan malam tadi.
Beliau menjelaskan bahawa pelbagai isu dan cabaran yang dihadapi skuad Hijau Kuning dipercayai memberi kesan kepada pasukan sehingga menjejaskan prestasi pemain.
"Setiap perlawanan, pemain fokus dan berusaha memberikan yang terbaik. Namun, apabila terlalu banyak masalah luaran, saya sendiri tertanya-tanya sampai bila kita harus menghadapi situasi ini. Sebagai jurulatih, keadaan ini menyukarkan tugas saya, tetapi saya menghargai semangat pemain yang tetap berusaha," katanya.
"Pasukan Selangor jauh lebih baik dari segi fizikal dan kecergasan. Pemain kami telah mencuba sebaik mungkin, tetapi kita harus akur dengan situasi semasa. Saya harap penyokong memberikan penghargaan kepada pemain dan tidak menyalahkan mereka kerana mereka masih bersemangat untuk terus bermain buat masa ini," katanya.
Nafuzi berkata demikian kepada pemberita selepas perlawanan yang menyaksikan KDA FC tewas 0-1 kepada Selangor FC di Stadium Darul Aman, yang juga kekalahan berturut-turut setelah turut tewas kepada Sabah FC 2-5 pada 29 Oktober lepas.
Nafuzi berkata, tempo permainan tinggi serta kekuatan fizikal Selangor menyebabkan Kedah tidak dapat bersaing dengan baik, sekali gus membolehkan Selangor mendominasi perlawanan.
"Selangor bermain di Liga Super, jadi tempo dan persediaan mereka memang berbeza. Dari awal, perbezaan ketara dapat dilihat, di mana tekanan yang diberikan Selangor membuatkan kita sukar mengawal permainan dengan tenang. Kita juga kehilangan bola dengan cepat akibat terlalu tergesa-gesa,” katanya.
Sementara itu, Ketua Jurulatih Selangor, interim Abdi Hassan berkata, bahawa kemenangan ini mengembalikan keyakinan dan moral pemain setelah kekalahan kepada Johor Darul Takzim (JDT) sebelum ini.
"Banyak yang perlu dilakukan untuk memastikan momentum pasukan kekal pada tahap terbaik selepas mengambil alih daripada Nidzam Jamil yang melepaskan jawatannya Rabu lepas. Nidzam adalah jurulatih yang hebat, dan kami akan meneruskan usaha beliau," katanya. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!