Mercedes-Benz tamatkan produksi trak pikap X-Class
DEK kurangnya permintaan terhadap model trak pikap premium X-Class, Mercedes-Benz nampaknya sudah bersedia dan nekad untuk menamatkan produksi model tersebut.
X-Class merupakan cubaan Mercedes menceburkan diri dalam segmen trak pikap melihatkan kepada kenaikan trend pemilikan trak pikap di seluruh dunia.
Dilancarkan pada 2017, X-Class menggunakan platform Nissan Navara bagi memberikan saingan kepada Ford Ranger dan juga raja trak pikap Toyota Hilux.
Tambahan pula, X-Class diperkenalkan bagi menawarkan lebih banyak pilihan kepada pengguna kelas komersial serta mengurangkan kebergantungan terhadap van komersial.
Namun, berdasarkan senario yang berlaku dalam industri automotif, kebanyakan pengguna tidak bersedia untuk membayar harga premium X-Class.
Tahun pertama X-Class menerjah pasaran global pada 2018, hanya 16,700 unit trak pikap berjaya dijual di Eropah, Australia dan Afrika Selatan. Sementara itu, tambahan 10,000 unit lagi berjaya terjual tahun lepas.
Menurut jurucakap Mercedes-Benz dalam satu kenyataan media, malangnya produksi trak pikap itu akan berakhir pada Mei 2020.
Namun pelanggan masih boleh menempah X-Class mengikut spesifikasi yang diinginkan sehingga 11 Februari ini.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!