Pelajar Tingkatan Satu maut ketika lintas jalan
ALOR GAJAH - Seorang pelajar Tingkatan Satu maut ketika melintas jalan dalam kejadian membabitkan sebuah kenderaan di Jalan Lendu Dalam, di sini pada Sabtu.
Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintenden Ashari Abu Samah berkata, mangsa yang berusia 13 tahun maut di lokasi akibat kecederaan parah di bahagian kepala.
"Dalam kejadian kira-kira 7 malam itu, sebuah kereta jenis Perodua Myvi dipandu lelaki berusia 29 tahun dari arah Lendu menghala ke arah Rembia.
"Apabila sampai di lokasi, mangsa dipercayai tiba-tiba melintas dari sebelah kanan jalan ke kiri jalan menyebabkan pemandu kereta tidak sempat mengelak," katanya pada Ahad.
Katanya, terdapat rakaman papan pemuka kereta diperoleh daripada kereta Perodua Myvi tersebut yang menampakkan bagaimana kemalangan berlaku.
"Mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian dan telah dibawa ke Hospital Alor Gajah untuk dibedah siasat, manakala pemandu kereta tidak cedera.
"Kenderaan terlibat telah ditahan untuk dibawa ke Puspakom Rembia bagi pemeriksaan.
"Siasatan kes masih diteruskan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!