Saya terima apa juga keputusan - Peja
IPOH - Ketua Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Bahagian Tambun, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu bersedia menerima apa sahaja keputusan terhadap pertandingan merebut jawatan Naib Presiden parti itu yang ditandinginya.
Mengakui bukan sesuatu yang mudah, bekas Menteri Besar Perak itu berdepan cabaran sengit bersama lima calon lain iaitu A’ziss Zainal Abidin, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee, Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin, Datuk Razali Idris dan Mohd Rafiq Abdullah.
"Bila saya tengok daripada pagi tadi (semalam), keputusan mula keluar, saya tengok rupanya susah hendak menang (jawatan) naib presiden pun. Jadi saya nak minta kalaulah ditakdirkan saya tak terpilih, saya nak minta keluarga besar (Bersatu Bahagian) Tambun kita chill saja, kita relaks, tak ada masalah," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Persidangan Bersatu Bahagian Tambun, di Pusat Konvensyen Casuarina di sini malam tadi.
Ahmad Faizal menyifatkan keputusan memilih bertanding jawatan naib presiden itu mempunyai hikmah tersendiri agar fokus dapat diberikan di peringkat bahagian.
Katanya, ketika menjawat jawatan Timbalan Presiden sebelum ini masa, tenaga dan wang ringgit banyak dihabiskan di peringkat persekutuan untuk membantu parti.
Sementara itu ketika ditemui pemberita, Ahmad Faizal menjelaskan pemilihan yang dibuat bertujuan memperkuatkan parti dan tidak mahu berlaku sebarang perpecahan.
Jelasnya, amat tidak wajar jika seseorang tewas dalam pemilihan bertindak melemahkan parti dan itu bukan niatnya bertanding pada pemilihan kali ini.
"Saya fikir peluang semua calon naib presiden sama rata sebab saya percaya semua orang berharap dipilih untuk menabur bakti, saya pun sama.
"Tapi apa juga keputusan, saya fikir kami perlu terima dengan hati terbuka dan perlu meneruskan usaha untuk memberi khidmat bakti kepada parti dalam apa jua kapasiti," katanya.
Jelas Ahmad Faizal, tumpuan selepas ini terarah kepada gerak kerja memperkukuhkan parti di Perak dengan kerjasama Pas dan Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan).
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!