Buli, dera pegawai kadet UPNM: 16 individu dirakam keterangan
KUALA LUMPUR - Seramai 16 individu termasuk mangsa dan suspek telah dirakam keterangan berkaitan kes mencederakan seorang pegawai kadet di Akademi Latihan Ketenteraan (ALK), Universiti Pertahanan Nasional (UPNM), Sungai Besi.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd Isa berkata, kesemua individu terbabit dirakam percakapan untuk siasatan lanjut berkaitan kes terbabit.
"Setakat ini 16 individu telah dirakam keterangan dan siasatan lanjut masih lagi dijalankan.
"Kita masih menunggu laporan perubatan berkaitan kes berkenaan," katanya menerusi kenyataan pada Ahad.
Terdahulu, polis mengesahkan mangsa ditekap seterika pada bahagian dada ketika disuruh menggosok baju kerja milik seniornya dalam kejadian di bilik asrama universiti berkenaan, 22 Oktober lalu.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, laporan berkaitan kejadian berkenaan dibuat mangsa kira-kira jam 8.23 malam pada Jumaat.
Sinar Harian sebelum ini melaporkan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) sedang menjalankan siasatan kes buli dan dera itu.
Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Mohammad Ab Rahman ketika dihubungi memaklumkan siasatan terperinci sedang dilaksanakan.
Pada Rabu, ATM dalam kenyataan memaklumkan kejadian membabitkan pelajar kadet yang disyaki dibuli oleh seniornya menggunakan seterika yang ditekap di bahagian dada sehingga meninggalkan kesan lecur seperti yang tular menerusi media sosial.
ATM turut menyatakan tindakan disiplin yang keras mahu pun tindakan undang-undang akan dikenakan kepada pihak yang terbabit, jika terbukti bersalah.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!