AWAN Selangor sasar peningkatan tenaga kerja wanita 75 peratus

Rawiyah (dua dari kiri) selepas perasmian Konvensyen AWAN Selangor 2024 pada Ahad.
Rawiyah (dua dari kiri) selepas perasmian Konvensyen AWAN Selangor 2024 pada Ahad.
A
A
A

SHAH ALAM - Angkatan Wanita Amanah Negara (AWAN) Selangor sasar peningkatan kadar penyertaan tenaga kerja wanita kepada 75 peratus menjelang 2030.

Ketuanya, Rawiyah Zakaria berkata, statistik semasa di Selangor menunjukkan kadarnya adalah sebanyak 65.4 peratus berbanding lelaki 82.2 peratus.

Menurutnya, penyertaan tenaga kerja wanita mampu menyumbang tujuh hingga 12 peratus Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) seterusnya memperkukuh ekonomi negara.

"Hampir separuh daripada wanita yang berpotensi menyumbang dalam sektor pekerjaan tidak berada dalam sektor tenaga kerja formal terutama yang tersepit antara tanggungjawab menjaga ibu bapa dan anak-anak.

"AWAN Selangor komited memperkukuh peranan wanita dalam pembangunan negeri Selangor melalui pelbagai inisiatif dan dasar proaktif bagi menyokong pertumbuhan ekonomi dan menangani cabaran sosial," katanya pada Ahad.

Beliau ditemui pada Konvensyen AWAN Selangor 2024 berlangsung di Pusat Konvensyen Sungai Renggam Seksyen 18 di sini.

Perasmian Konvensyen AWAN Selangor memilih bertemakan 'Transformasi AWAN Mendepani Masa Hadapan' disempurnakan oleh Ketua AWAN Nasional, Datuk Aiman Athirah Sabu.

Rawiyah berkata, Dasar Ekonomi Penjagaan 2024-2030 yang bakal diluncurkan dalam Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor akan datang dapat membuka peluang ekonomi wanita serta memperkukuh sistem sokongan kepada wanita bekerjaya.

Artikel Berkaitan:

Ujarnya, di bawah portfolio Pembangunan Wanita dan Kebajikan Masyarakat Selangor, Exconya, Anfaal Saari telah melaksanakan beberapa inisiatif kepada agenda pemerkasaan wanita.

"Antaranya inisiatif MamaKerja yang memberi subsidi penjagaan anak kepada 5,000 wanita bekerja dan Impak Selangor iaitu kursus percuma pengasuhan kanak-kanak untuk menyokong pendidikan awal kanak-kanak.

"AWAN Selangor percaya pembentangan Belanjawan 2025 oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim turut menyediakan inisiatif dan program peringkat persekutuan menyokong Dasar Ekonomi Penjagaan secara signifikan," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!