Op Khas Motosikal: JPJ periksa 24,567 kenderaan

Makhzan (tiga dari kiri) dan Muhammad Kifli (dua dari kiri) menyampaikan lesen kepada penerima di SMK Bukit Jawa di Pasir Puteh.
Makhzan (tiga dari kiri) dan Muhammad Kifli (dua dari kiri) menyampaikan lesen kepada penerima di SMK Bukit Jawa di Pasir Puteh.
A
A
A

PASIR PUTEH - Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) memeriksa 24,567 kenderaan termasuk 13,222 motosikal dalam tempoh dua hari Op Khas Motosikal yang dilaksanakan di seluruh negara bermula Jumaat lalu.

Pengarah Kanan Penguat Kuasa JPJ, Muhammad Kifli Ma Hassan berkata, daripada jumlah itu, sebanyak 2,687 kenderaan diambil tindakan membabitkan 1,863 kesalahan yang melibatkan penunggang motosikal manakala 41 motosikal disita.

Menurutnya, operasi menumpukan kesalahan-kesalahan yang sering dilakukan penunggang motosikal iaitu tidak memiliki lesen, cukai jalan dan motosikal tidak dilindungi insurans.

“Kesalahan juga melibatkan pengguna yang tidak mematuhi peraturan-peraturan jalan raya, melanggar lampu isyarat dan mengubah suai kenderaan secara ekstrem.

“Daripada 1,863 motosikal yang diambil tindakan itu, lebih 50 peratus adalah golongan belia berusia 18 hingga 30 tahun, menunjukkan satu keadaan yang serius,” katanya ketika sidang akhbar sempena Program Satu Kampung, Satu Pemimpin, Santuni Madani 2024 di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bukit Jawa, di sini pada Ahad.

Makhzan (kanan) memakaikan topi keledar kepada penerima sambil diperhatikan Muhammad Kifli (dua dari kiri) ketika Program Satu Kampung, Satu Pemimpin, Santuni Madani 2024 di SMK Bukit Jawa pada Ahad.
Makhzan (kanan) memakaikan topi keledar kepada penerima sambil diperhatikan Muhammad Kifli (dua dari kiri) ketika Program Satu Kampung, Satu Pemimpin, Santuni Madani 2024 di SMK Bukit Jawa pada Ahad.

Turut hadir, Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar dan Kawalan) Kementerian Dalam Negeri, Datuk Makhzan Mahyuddin yang merasmikan majlis itu.

Pada majlis itu, Makhzan turut menyampaikan Lesen Memandu Malaysia kelas B, B2, lesen kenderaan barangan dan Lesen Vokasional Kenderaan Perkhidmatan Awam kepada 206 penerima, sumbangan 450 topi keledar, 200 bakul Rahmah dan 100 kampit beras kepada penduduk setempat.

Artikel Berkaitan:

Muhammad Kifli memberitahu, Op Khas Motosikal terbabit akan berterusan selama dua bulan sehingga 31 Disember ini dengan penglibatan 2,500 anggota dan pegawai JPJ di seluruh negara.

Beliau berkata, JPJ mengeluarkan arahan kepada semua JPJ negeri untuk mengadakan operasi khas berkenaan memandangkan statistik jumlah kemalangan dan kematian akibat daripada kemalangan jalan raya semakin meningkat.

“Daripada jumlah kemalangan dan kematian tersebut, hampir 70 peratus yang meninggal dunia adalah penunggang serta pembonceng motosikal.

“Ada mereka yang ekstrem seperti mengubah tayar kepada yang lebih nipis atau menukar brek hingga boleh mengakibatkan kemalangan,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!