Bakat melukis berubah jadi kerjaya
KOTA BHARU - Bakat melukis yang dianugerahkan ALLAH SWT memberi peluang kepada Muhammad Izzat Ab Ghani, 35, untuk menceburi bidang itu sejak 10 tahun lalu.
Lulusan Sarjana Muda Kimia Gunaan di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Arau, Perlis itu, tidak pernah menyangka kebolehan dan minatnya turut membantu memperoleh wang saku ketika menyambung pengajian di universiti itu.
Muhammad Izzat yang tinggal di Chabang Empat Tok Mek Ngoh, Tumpat mula aktif melukis mural di beberapa lokasi di daerah itu sebaik sahaja tamat pengajian untuk mencari rezeki.
"Mural pertama yang saya hasilkan pada 2014 di sebuah sekolah tadika di Kok Pasir di sini dan selepas itu ada beberapa kenalan yang berminat mengupah lukisan jenis itu," katanya.
Menurut Muhammad Izzat, empat tahun kemudian dia berhijrah ke Nilai, Negeri Sembilan untuk mencari pengalaman dalam bidang berkenaan.
Dia kemudiannya bekerja dengan sebuah syarikat reka bentuk dalaman selama dua tahun sebelum mengambil keputusan pulang ke kampung dan menjadi pelukis sepenuh masa.
"Melukis mural menjanjikan pulangan lumayan jika kreatif dan sentiasa ada idea baharu.
"Pendapatan sebagai pelukis mural boleh mencecah sehingga ratusan ribu ringgit jika benar-benar serius dan mempunyai ramai pembantu," katanya.
Muhammad Izzat juga boleh berbangga kerana bakatnya dihargai Perbadanan Muzium Negeri Kelantan yang turut menggunakan khidmatnya melukis mural 3D dalam muzium itu sempena Tahun Melawat Kelantan 2020.
Bapa dua anak berusia dua dan empat tahun itu juga bijak mencari peluang dengan menyewa tapak di sebuah pusat membeli-belah menjelang sambutan hari raya.
Tambahnya, sambutan yang diterima daripada pengunjung sangat menggalakkan terutama lukisan karikatur.
Muhammad Izzat juga dikenali pelancong dalam dan luar negara kerana turut melukis karikatur di Pulau Sri Tanjung, Tumpat setiap hujung minggu.
Berkongsi kisahnya melukis potret dan karikatur, Muhammad Izzat memberitahu, ketika tamat pengajian, tercetus idea untuk melukis potret kira-kira 60 rakan sekelasnya untuk dijadikan satu album.
"Saya tidak menyangka, mereka semua berminat membelinya pada harga RM20 dan ketika itu saya dapat menambah duit poket sebagai persediaan graduasi," katanya.
Muhammad Izzat juga bersyukur kerana isteri, Amira Izati Sazali, 28, memberi galakan dengan hobinya dan kini konsisten sebagai pelukis sepenuh masa.
Dalam pada itu, Muhammad Izzat nekad akan fokus melukis bidang mural dalam tempoh lima tahun kerana dapat memberikan kepuasan dalam kerjaya itu.
.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!