Polis rampas kosmetik, petrol seludup di Pasir Mas dan Tumpat

No Image Caption
A
A
A

KOTA BHARU - Pasukan Gerakan Am (PGA) Briged Tenggara menumpaskan kegiatan penyeludupan 384 botol pelbagai jenis produk kosmetik bernilai RM76,800 dalam serbuan berdekatan pangkalan haram Pok Dik Jeram Perdah, Pasir Mas, semalam.

Komander Briged Tenggara PGA, Datuk Nik Ros Azhan Nik Ab Hamid, berkata, rampasan dilakukan oleh sepasukan anggota Batalion 7 pada 7.30 malam selepas menemukan beberapa kotak yang diletakkan di tebing sungai semasa rondaan dalam Op Taring Wawasan Kelantan.

"Hasil pemeriksaan mendapati kesemua kotak mengandungi pelbagai kosmetik yang dipercayai diseludup masuk dari Thailand untuk pasaran tempatan di negeri ini.

"Kesemua rampasan dianggarkan bernilai RM76,800 dan dibawa ke Komtak PGA Jeram Perdah untuk tindakan selanjutnya di bawah 7(1)(a) Peraturan-Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Sementara itu dalam operasi berasingan, Briged Tenggara PGA juga menumpaskan kegiatan penyeludupan petrol yang dikesan di jalan besar Pasar Bunohan di Tumpat.

Nik Ros Azhan berkata, rampasan dilakukan pasukan Batalion 8 pada 11.20 malam, apabila dua kereta dalam keadaan mencurigakan ditahan di hadapan pasar.

"Suspek dalam kejadian ini melarikan diri, namun pemeriksaan mendapati dua tangki minyak yang diubah suai dan lebih 100 liter petrol dijumpai di dalam kereta, disyaki untuk diseludup ke negara jiran.

"Anggaran nilai rampasan kenderaan adalah RM15,205, manakala nilai petrol adalah RM205. Kes disiasat di bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961, dan hasil rampasan dibawa ke Komtak PGA Pengkalan Kubor untuk tindakan lanjut,” katanya. - Bernama

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!